Selain iPhone Xs dan Xs Max, Apple juga pada Acara Khas Apple hari ini membuat kejutan dengan memperkenalkan iPhone Xr kepada umum.
iPhone Xr merupakan satu lagi variasi iPhone yang ditambah dalam barisan peranti Apple pada tahun ini. Berbeza dengan iPhone XS dan XS Max, iPhone Xr diperkenalkan dengan spesifikasi dalaman yang lebih rendah. Ia menggunakan skrin LCD dipanggil “Liquid Retina”, tidak seperti iPhone Xs iaitu menggunakan skrin OLED.
Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.1 inci dilengkapi keupayaan Super Retina, namun tiada keupayaan 3D Touch. Selain itu, ia juga akan didatangkan dalam 6 variasi warna merah, biru, kuning, hitam, putih dan coral.
Peranti ini menggunakan teknologi Face ID yang sama dengan iPhone X dan Xs dan juga dilengkapi dengan cip A12 Bionic sama seperti iPhone Xs & Xs Max.
Bagi kamera pula, iPhone Xr hanya dilengkapi dengan satu kamera 12MP di bahagian belakang. Namun menggunakan teknologi neural engine dan bantuan perisian dalaman, kamera iPhone Xr mampu menghasilkan rakaman bokeh, sama seperti Google Pixel 2.
iPhone Xr dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada Oktober ini, pada tanda harga yang lebih rendah dari iPhone XS dan XS Max.