Umum mengetahui bahawa iOS 13 secara rasmi telah dilepaskan pada 20 September 2019 Jam 1.00 pagi.
Boleh dikatakan majoriti warganet tidak sabar untuk mengemaskini iOS 13 atas faktor fungsi mod gelap.
Setakat hari ini sebanyak tiga kemaskini telah dilepaskan kepada pengguna iaitu:
- iOS 13.1 – 25 September 2019
- iOS 13.1.1 – 28 September 2019
- iOS 13.1.2 – 1 Oktober 2019
Berdasarkan sejarah, iOS 13 satu-satunya iOS yang menerima jumlah kemaskini tertinggi iaitu tiga kali setakat 5 Oktober 2019.
Berikut senarai iOS yang menerima kemaskini dengan menggunapakai tarikh yang sama.
iOS 7
iOS 7.0.1 – 21 September 2013
iOS 7.0.2 – 27 September 2013
iOS 8
iOS 8.0.1 – 25 September 2014
iOS 8.0.2 – 26 September 2014
iOS 9
iOS 9.0.1 – 24 September 2015
iOS 9.0.2 – 1 Oktober 2015
iOS 10
iOS 10.0.1 – 14 September 2016
iOS 10.0.2 – 24 September 2016
iOS 11
iOS 11.0.1 – 27 September 2017
iOS 11.0.2 – 4 Oktober 2017
iOS 12
iOS 12.0.1 – 9 Oktober 2018
Berdasarkan laporan di atas jelas kita boleh konklusikan bahawa iOS 13 menerima jumlah kemaskini tertinggi berbanding iOS yang lain.
Persoalanya adakah iOS 13 bermasalah jika kita menilai dalam konteks kuantiti kemaskini?
Seramai 2,625 responden telah membuat undian tentang tahap kepuasan iOS 13.1, manakala 5,540 dan 4,738 bagi iOS 13.1.1 dan iOS 13.1.2.
Dapatan dari hasil undian ini telah menzahirkan bahawa sebanyak 36% responden puas hati mengemaskini iOS 13.1 manakala 14% kurang berpuas hati, 13% sangat puas hati dan selebihnya belum mengemaskini.
Saya dalam proses menyiapkan penulisan tentang tahap kepuasan pengguna terhadap iOS 13.1.
Data bagi iOS 13 telah saya peroleh dari hasil undian anda.
Kali ini saya mahukan pandangan anda tentang iOS 13.1 adakah anda berpuas hati?
— xaviernaxa (@XavierNaxa) September 26, 2019
Bagi iOS 13.1.1 pula, 26% puas hati, 17% kurang berpuas hati, 11% puas dan selebihnya masih belum mengemaskini.
Adakah anda berpuas hati dengan iOS 13.1.1?
— xaviernaxa (@XavierNaxa) September 29, 2019
Bagi iOS 13.1.2 yang baru sahaja dilepaskan pada 1 Oktober 2019 majoriti responden masih belum mengemaskini versi berkenaan namun 20% responden puas hati dengan kemaskini terbaharu 18% kurang berpuas hati dan 8% sangat puas hati.
Adakah anda berpuas hari dengan iOS 13.1.2?
— xaviernaxa (@XavierNaxa) October 2, 2019
Berdasarkan keputusan ini jelas menunjukkan bahawa majoriti pengguna iPhone puas hati menggunakan iOS 13 walaupun sebahagian besar masih belum mengemaskini iOS terkini.
Secara dasarnya kemaskini iOS adalah baik, ia dapat mempertingkatkan keselamatan serta hadir dengan fungsi-fungsi baharu.
Namun kekerapan kemaskini dalam tempoh dua minggu ini memberi sedikit masalah kepada segelentir pengguna di mana pelbagai masalah yang dihadapi termasuklah penurunan bateri mendadak, kamera gagal berfungsi, kepanasan luar biasa dan lain-lain.
Hakikatnya masalah ini bukanlah berpunca dari iOS 100%, pengguna iPhone harus membuat semakan kendiri ke atas iPhone mereka.
Berikut antara faktor kepada permasalahan tersebut:
- iPhone pernah dibuka atau dibaiki selain ASP
- iPhone menggunakan komponen tiruan
- iPhone Refurbished dari sumber tidak sah
- iPhone terpakai yang dibeli dari individu tidak dikenali
- iPhone yang mengalami masalah
- Masalah semasa proses kemaskini
- Lain-lain
Saya mengakui iOS juga faktor penyebab kepada masalah ini. Namun sekiranya ia berlaku dalam skala yang kecil, pengguna harus membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjatuh hukum.
Kestabilan sesebuah iPhone bergantung kepada perisian, perkakasan dan pengguna. Jika salah satu bermasalah, maka ia akan memberi impak kepada prestasi iPhone.
Bagi isu kepanasan melampau setelah mengemaskini iOS. Anda harus memahami bahawa saat iPhone dikemaskini, cip pemprosesan dan RAM akan digunakan secara maksimum.
Ini mengakibatkan penggunaan tenaga yang tinggi seterusnya menyebabkan iPhone panas mendadak dan bateri akan turun mengejut sekiranya anda mengemaskini menggunakan kaedah OTA (Wi-Fi).
Kesalahan tentang tatacara kemaskini juga antara faktor penyebab kepada isu ini. Terdapat segelintir pengguna mengambil jalan mudah dengan menggunakan hotspot dan ada juga menggunakan data internet mereka sendiri walaupun Apple menghalang kemaskini menggunakan data.
Konklusinya iOS 13 telah mendapat maklum balas yang positif di kalangan pengguna iPhone. Setakat ini saya tidak meletakkan iOS 13 setaraf dengan iOS 11 yang merupakan “Raja Segala Pepijat”.
Saya mengakui bahawa pengguna yang mengalami masalah pada iPhone mereka disebabkan oleh iOS. Namun kadang-kadang ia berpunca dari pengguna iPhone itu sendiri.
SEKADAR PANDANGAN