Seperti diketahui Apple telah melepaskan iOS 13 pada 20 September 2019 di mana hampir kebanyakan pengguna iPhone di Malaysia telah mengemaskini iOS terbaharu ini.
Secara asasnya kemaskini iOS boleh dibuat melalui beberapa kaedah termasuklah:
1- OTA (Wi-Fi)
2- iTunes
3- iTunes (IPSW)
Over-The-Air atau nama singkatanya OTA merupakan kemaskini yang hanya memerlukan Wi-Fi untuk mengemaskini setiap versi iOS sama ada kemaskini major, separa major atau kecil.
OTA pertama kali diperkenalkan semasa pelancaran iOS 5 yang pada ketika itu ia diketuai oleh Scott Forstall yang memegang portfolio iOS. OTA boleh dianggap antara proses kemaskini paling mudah berbanding iTunes dan iTunes (IPSW).
Satu kaji selidik telah dibuat oleh saya di laman Twitter untuk mendapatkan maklum balas berhubung kaedah kemaskini yang dibuat oleh pengguna iPhone semasa iOS 13 dilepaskan pada 20 September 2019 yang lalu.
Seramai 5,057 Responden telah menjawab kaji selidik ini dan 81% atau seramai 4,096 Responden telah mengemaskini iOS 13 menggunakan kaedah OTA berbanding 14% iTunes dan 4% iTunes (IPSW)
Anda mengemaskini iOS 13 menggunakan kaedah?
— xaviernaxa (@XavierNaxa) September 22, 2019
Pemilihan OTA sebagai kaedah utama kemaskini bagi iOS 13 mungkin disebabkan ia mudah dan cepat serta pengguna tidak perlu bergantung kepada komputer peribadi atau MacBook untuk mengemaskini iOS tersebut.
Selain itu juga faktor iCloud sebagai medium yang menyimpan data sandaran (Back-up) menyebabkan pengguna tidak perlu menggunakan komputer bagi proses tersebut.
Tidak semua pengguna iPhone mempunyai komputer atau macbook, jika ada sekalipun tidak semestinya ia berkemampuan untuk melaksanakan proses kemaskini atas faktor kondisi, usia dan sistem operasi itu sendiri.
Secara dasarnya kemaskini menggunakan OTA adalah selamat dan menjimatkan masa. Walaupun terdapat khabar angin bahawa proses kemaskini menggunakan OTA adalah tidak selamat. Tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari Apple bahawa ia memudaratkan iPhone pengguna.
Cuma terdapat maklum balas dari beberapa penggunaan iPhone yang mengalami masalah setelah mengemaskini iOS menggunakan OTA. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, mereka telah mengemaskini sekali lagi menggunakan iTunes.
Secara peribadi saya berpandangan ia hanya kes terpencil, namun saya amat menggalakkan pengguna iPhone mengemaskini iPhone mereka menggunakan kaedah iTunes.
Berdasarkan kaji selidik ini jelas menunjukkan bahawa pengguna iPhone cenderung mengemaskini iPhone mereka menggunakan OTA berbanding iTunes yakni melalui komputer.