KUDRAT 1968 : HIGH COUNCIL merupakan kesinambungan daripada drama bersiri ini menerusi episod keempat. Kali ini, penonton bakal dihidangkan dengan konflik yang mampu mengubah segala tanggapan terhadap kisah yang dibawakan.
.jpg)
Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria, individu di sebalik Projek: EXIT, sudah pasti penonton dapat menjangkakan rencah penceritaan tersendiri yang dibawanya.
Saya tidak akan menceritakan jalan cerita filem ini kerana lebih baik anda sendiri menontonnya untuk mengetahui apa yang berlaku. Namun, apa yang boleh saya katakan, jalan ceritanya digarap dengan baik, manakala mutu lakonan Akmal Asyraf dan Dai Fuad begitu menonjol.
.png)
Walau bagaimanapun, dari segi keseluruhan, saya melihat KUDRAT 1968 : HIGH COUNCIL masih mengekalkan tunjang asalnya sebagai sebuah drama bersiri. Identiti tersebut masih begitu kuat sehingga filem ini belum sepenuhnya memberikan pengalaman seperti menonton sebuah karya layar perak. Ada kalanya, pendekatan penceritaannya membuatkan saya merasakan bahawa filem ini masih membawa acuan drama yang sama, meskipun dipersembahkan dalam format filem.
Kendatipun begitu, perkara tersebut tidak mengubah pandangan saya bahawa filem ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Pembinaan karakternya juga dilakukan dengan teliti, sekali gus mengukuhkan konflik yang menjadi nadi penceritaan. Bagi saya, kekuatan filem ini terletak pada cara cerita dikembangkan dan bagaimana setiap karakter memainkan peranan dalam membawa kisah ini ke arah yang tidak semestinya dijangka penonton.

Satu perkara yang perlu anda ingat, jangan terus meninggalkan panggung sebaik sahaja filem ini tamat. Pastikan anda menunggu sehingga babak selepas kredit kerana terdapat petunjuk tentang kesinambungan dalam alam sinematik Astro Shaw. Perkara ini pastinya menarik perhatian peminat yang ingin melihat bagaimana karya-karya tempatan berpotensi saling berkait dalam satu dunia sinematik.
Skor: 7/10