PRIMETIME: Di Mana Salahnya, Mengapa Disekat dan Mungkinkah Ada Jalan Penyelesaian?

Isu filem yang disekat daripada tayangan di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, apabila sesebuah filem tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF), persoalan yang timbul bukan sekadar mengapa filem itu disekat, tetapi apakah kandungan yang menyebabkan keputusan tersebut dibuat?

Adakah isu berkenaan terletak pada tema yang diketengahkan, paparan visual yang keterlaluan, penggunaan bahasa kesat atau gabungan beberapa unsur yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum?

Persoalan inilah yang mendorong saya menonton filem PRIMETIME di luar Malaysia. Saya mahu memahami sendiri inti pati filem ini dan menilai kandungannya daripada perspektif seorang penonton, khususnya mengapa karya ini tidak dapat ditayangkan di pawagam tempatan.

Setelah menontonnya, saya memahami bahawa PRIMETIME bukan sekadar sebuah filem yang mengetengahkan isu sensitif. Filem ini membawa penonton menyelami sisi gelap eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak, termasuk bagaimana pemangsa mendekati, memperdaya dan mengambil kesempatan terhadap mangsa bawah umur. Lebih membimbangkan, isu yang diketengahkan bukan hanya melibatkan kanak-kanak perempuan, malah kanak-kanak lelaki turut berhadapan dengan ancaman yang sama.

Filem ini turut membangkitkan persoalan tentang penglibatan individu berpengaruh dalam lingkungan pemangsaan tersebut. Hal ini menjadikan penceritaannya lebih berat kerana ia bukan sekadar berkisar pada jenayah seksual, tetapi juga menyentuh persoalan kuasa, manipulasi dan bagaimana kedudukan seseorang berpotensi digunakan untuk melindungi kepentingan sendiri.

Namun, di sinilah timbulnya persoalan yang lebih besar: adakah mesej yang cuba disampaikan oleh sesebuah filem memadai untuk membenarkan semua bentuk paparan yang digunakan bagi menyokong penceritaannya?

Pada pandangan saya, jawapannya tidak semudah itu.

Saya tidak menafikan bahawa PRIMETIME mengetengahkan isu yang wajar diberikan perhatian. Pedofilia dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak merupakan jenayah serius yang perlu difahami masyarakat. Pendedahan terhadap taktik pemangsa juga berpotensi membantu penonton memahami bagaimana jenayah sedemikian berlaku dan mengapa mangsa boleh terperangkap dalam situasi yang sukar untuk dilepaskan.

Walakin begitu, niat sesebuah karya untuk mendedahkan sisi gelap masyarakat tidak semestinya menjadikan setiap babak di dalamnya sesuai untuk ditayangkan kepada khalayak umum.

Dalam hal ini, saya melihat terdapat beberapa unsur dalam PRIMETIME yang sememangnya sukar untuk dipertimbangkan bagi tayangan komersial di Malaysia. Antaranya termasuklah babak seksual yang eksplisit, paparan kemaluan lelaki dan penggunaan bahasa kesat secara keterlaluan.

Saya mengakui bahawa unsur-unsur tersebut bukan perkara kecil. Paparan visual yang eksplisit, khususnya apabila penceritaan berkait dengan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak, memerlukan penelitian yang sangat teliti. Penilaian terhadap kandungan sebegini bukan hanya bergantung pada niat pembikin filem, tetapi juga bagaimana sesuatu babak dipersembahkan, konteksnya dan kesan keseluruhannya terhadap penonton.

Pada masa yang sama, saya melihat penggunaan bahasa kesat dalam filem ini dari sudut yang sedikit berbeza. Dalam sesebuah karya, dialog bukan sekadar alat untuk menyampaikan maklumat. Dialog turut membentuk watak, membina suasana, memperlihatkan konflik dan menggerakkan jalan cerita.

Ada kalanya, bahasa yang kasar menjadi sebahagian daripada identiti sesebuah karya, terutama apabila filem itu cuba menggambarkan persekitaran yang keras, watak yang manipulatif atau situasi yang tidak selesa untuk ditonton.

Kendatipun begitu, perkara ini tidak bermaksud semua dialog sedemikian perlu diterima tanpa sebarang pertimbangan. Persoalannya ialah sejauh mana sesuatu bahasa kesat itu diperlukan untuk menyampaikan maksud, dan sama ada penyuntingan dapat dilakukan tanpa menjejaskan keutuhan penceritaan.

Jika terlalu banyak dialog perlu dipotong sehingga hubungan antara watak, perkembangan konflik dan sebab di sebalik sesuatu tindakan tidak lagi dapat difahami, maka versi yang ditayangkan mungkin tidak lagi menggambarkan karya asal secara menyeluruh.

Di sinilah saya melihat dilema sebenar dalam penapisan filem seperti PRIMETIME.

Jika kandungan seksual yang eksplisit dan penggunaan bahasa kesat menjadi sebahagian besar daripada keseluruhan penceritaan, proses penyuntingan mungkin bukan lagi sekadar membuang beberapa babak. Sebaliknya, ia boleh mengubah struktur naratif, menghilangkan konteks penting dan menjejaskan cara penonton memahami keseluruhan karya.

Dalam keadaan sedemikian, saya dapat memahami mengapa tayangan filem ini menimbulkan cabaran kepada pihak yang bertanggungjawab menilai kandungan filem di Malaysia.

Namun, saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak mempunyai akses kepada alasan rasmi dan terperinci LPF yang menjadi asas keputusan terhadap PRIMETIME. Oleh itu, saya tidak mahu mendakwa bahawa unsur tertentu merupakan sebab muktamad filem ini disekat tanpa merujuk kepada penjelasan rasmi pihak berkenaan.

Dari sudut pandang saya sebagai penonton, unsur seksual yang eksplisit dan bahasa kesat yang keterlaluan merupakan antara aspek yang wajar diberikan perhatian serius. Walau bagaimanapun, sebab sebenar keputusan LPF perlu dinilai berdasarkan alasan rasmi, bukan semata-mata andaian penonton.

Saya juga tidak melihat isu penglibatan individu berpengaruh sebagai sesuatu yang dengan sendirinya menjadikan filem ini tidak sesuai untuk ditayangkan. Sebuah karya seharusnya boleh membicarakan salah laku, penyalahgunaan kuasa dan jenayah yang melibatkan sesiapa sahaja, selagi kandungannya dinilai berdasarkan prinsip dan peraturan yang berkenaan.

Hakikat bahawa sesebuah filem menyentuh individu berpengaruh tidak sepatutnya secara automatik menjadikannya tidak boleh ditayangkan. Sebaliknya, perkara yang perlu diteliti ialah bagaimana isu tersebut dipersembahkan dan sama ada kandungannya memenuhi syarat penapisan yang ditetapkan.

Persoalan seterusnya ialah sama ada klasifikasi 18 tahun ke atas boleh menjadi jalan penyelesaian.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa klasifikasi 18 tahun ke atas tidak semestinya menyelesaikan semua masalah yang timbul daripada kandungan PRIMETIME. Had umur memang boleh mengehadkan akses penonton berdasarkan kematangan mereka, tetapi ia tidak secara automatik menjadikan semua bentuk paparan seksual eksplisit boleh diterima untuk tayangan komersial.

Klasifikasi umur dan penapisan kandungan merupakan dua perkara yang berkaitan, tetapi tidak serupa. Sesuatu filem mungkin sesuai untuk penonton dewasa dari sudut tema dan kerumitan penceritaannya, namun masih mengandungi babak yang tidak memenuhi syarat penapisan yang berkuat kuasa.

Justeru, walaupun saya melihat klasifikasi 18 tahun ke atas sebagai satu pilihan yang boleh dipertimbangkan, saya tidak beranggapan bahawa langkah tersebut semestinya membolehkan PRIMETIME ditayangkan tanpa sebarang perubahan.

Embuh-embuhan begitu, persoalan ini tidak seharusnya berhenti pada perdebatan sama ada filem tersebut patut disekat atau dibenarkan. Kita juga perlu melihat kesan keputusan berkenaan terhadap pihak yang terlibat dalam industri perfileman.

Dalam kes ini, keputusan tidak meluluskan tayangan filem tersebut pastinya menimbulkan persoalan tentang kedudukan Antenna Entertainments sebagai pengedar yang telah memperoleh hak pengedaran filem berkenaan.

Saya tidak mengetahui secara terperinci syarat perjanjian pengedaran, jumlah pelaburan atau bentuk komitmen kewangan yang telah dibuat oleh Antenna Entertainments. Oleh itu, saya tidak mahu membuat kesimpulan tentang jumlah kerugian sebenar yang ditanggung syarikat berkenaan.

Namun, dari sudut perniagaan, sekatan tayangan sesebuah filem boleh membawa implikasi kewangan yang besar. Pengedar mungkin telah mengeluarkan modal untuk memperoleh hak pengedaran, merancang kempen pemasaran, menyediakan bahan promosi dan memperuntukkan sumber bagi pelaksanaan tayangan di pawagam.

Apabila filem tidak dapat ditayangkan seperti yang dirancang, pelaburan tersebut berisiko tidak dapat dikembalikan melalui hasil jualan tiket. Kesan ini bukan sahaja melibatkan pengedar, malah berpotensi menjejaskan pihak lain yang terlibat dalam rantaian pengedaran dan pemasaran filem.

Walakin begitu, kepentingan komersial tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan peraturan penapisan. Pengedar juga perlu memahami bahawa memperoleh hak pengedaran sesebuah filem tidak semestinya menjamin kelulusan tayangan di semua negara.

Setiap pasaran mempunyai undang-undang, garis panduan dan pertimbangan tersendiri. Oleh itu, risiko penapisan sewajarnya menjadi sebahagian daripada pertimbangan perniagaan apabila memilih filem untuk dibawa masuk ke sesebuah negara.

Jadi, adakah keputusan menyekat PRIMETIME merupakan jalan terakhir yang paling wajar?

Dari perspektif peribadi saya, saya bersikap neutral dalam isu ini. Saya tidak mahu mempertahankan pengedar semata-mata kerana mereka telah melaburkan wang, dan saya juga tidak mahu menganggap keputusan LPF sebagai sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan.

Berdasarkan kandungan yang saya tonton, saya dapat memahami mengapa filem ini berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan kelulusan tayangan di Malaysia. Unsur seksual yang eksplisit, paparan kemaluan dan bahasa kesat yang keterlaluan bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Sekiranya kandungan tersebut terlalu menyeluruh sehingga pemotongan akan merosakkan keseluruhan penceritaan, saya boleh memahami hujah bahawa tayangan komersialnya mungkin sukar dilaksanakan dalam bentuk asal. Malah, saya juga mengakui bahawa klasifikasi 18 tahun ke atas mungkin tidak memadai untuk menangani semua isu kandungan yang dibangkitkan.

Namun, memahami kemungkinan sebab sesebuah filem disekat tidak bermakna kita tidak boleh mempersoalkan sama ada terdapat ruang untuk penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Pada hemat saya, LPF dan Antenna Entertainments wajar diberikan ruang untuk duduk semeja, sekiranya saluran perbincangan sedemikian tersedia, bagi meneliti kemungkinan penyelesaian yang dibenarkan oleh peraturan sedia ada.

Perbincangan itu boleh dimulakan dengan penjelasan yang lebih terperinci tentang bahagian yang tidak memenuhi syarat penapisan, diikuti penelitian sama ada penyuntingan terhad, pengubahsuaian tertentu atau bentuk tayangan lain yang dibenarkan boleh dipertimbangkan.

Sekiranya terdapat babak yang boleh dipotong tanpa merosakkan inti pati cerita, pilihan tersebut boleh dinilai. Namun, jika kandungan yang menjadi pertikaian merupakan sebahagian daripada struktur utama filem dan tidak boleh diubah tanpa menjejaskan keutuhan karya, perkara itu juga perlu dijelaskan secara terbuka kepada pengedar.

Saya tidak mengatakan bahawa LPF perlu meluluskan PRIMETIME dalam apa jua keadaan. Saya juga tidak mengatakan bahawa Antenna Entertainments harus diberikan layanan istimewa. Apa yang saya harapkan ialah penjelasan yang menyeluruh, komunikasi yang jelas dan penelitian terhadap pilihan yang sah sebelum sesuatu keputusan dianggap muktamad.

Pendekatan sedemikian sekurang-kurangnya dapat membantu pengedar memahami alasan keputusan yang dibuat, di samping memberikan gambaran yang lebih jelas tentang ruang penambahbaikan yang mungkin tersedia. Pada masa yang sama, LPF masih boleh melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa.

Saya melihat isu PRIMETIME sebagai pertembungan antara kebebasan berkarya, tanggungjawab penapisan, sensitiviti masyarakat dan realiti perniagaan pengedaran filem.

Filem ini membawa isu yang berat dan penting untuk dibincangkan. Namun, kepentingan sesuatu mesej tidak secara automatik menghalalkan semua bentuk penyampaiannya. Begitu juga, keputusan untuk menyekat sesebuah filem tidak seharusnya menghalang perbincangan yang rasional tentang alasan, proses dan kemungkinan penyelesaian yang tersedia.

Tuntasnya, sebagai penonton yang telah menyaksikan PRIMETIME di luar Malaysia, saya memahami mengapa kandungannya boleh menimbulkan persoalan serius dalam konteks penapisan tempatan. Saya juga melihat adanya kewajaran untuk sekatan dipertimbangkan sekiranya kandungan filem itu benar-benar tidak dapat disesuaikan dengan syarat tayangan yang berkuat kuasa.

Namun, saya berharap isu ini tidak berakhir dengan perdebatan antara pihak yang menyokong sekatan dengan pihak yang menentangnya. Sebaliknya, biarlah penjelasan rasmi, pertimbangan yang telus dan komunikasi antara pihak berkaitan menjadi asas untuk mencari penyelesaian yang munasabah.

Persoalannya bukan semata-mata sama ada PRIMETIME patut ditayangkan atau disekat, tetapi sama ada semua pihak telah meneroka ruang penyelesaian yang dibenarkan sebelum menutup pintu kepada kemungkinan lain.