Peminat NIKKE: Goddess of Victory di Malaysia berpeluang merasai pengalaman permainan kegemaran mereka di luar skrin menerusi sambutan ulang tahun keempat yang berlangsung di Doko Koko Pick-Up, LaLaport Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Media Xavier Naxa turut berpeluang hadir ke acara yang berlangsung hari ini, 7 November 2026, atas jemputan Level Infinite. Sepanjang kunjungan, kami dapat melihat sendiri pelbagai aktiviti yang ditawarkan, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada komuniti peminat NIKKE untuk meraikan ulang tahun permainan tersebut.
Dianjurkan dengan tema NIKKE 4th Anniversary – Celebrate the Journey, acara ini membawa dunia permainan ke ruang fizikal menerusi kolaborasi menu minuman, barangan edisi terhad, aktiviti interaktif dan kemunculan cosplayer.

Antara tarikan utama ialah enam minuman istimewa yang diinspirasikan daripada karakter popular NIKKE. Setiap minuman hadir dengan identiti tersendiri, termasuk Scarlet’s Mixed Berries Soda, Nayuta’s Charcoal Latte, Snow White’s Lychee Coconut Milk Foam, Modernia’s Strawberry Cocoa, Dorothy’s Pink Lime Soda dan Rapunzel’s Pineapple Tea.
Lebih menarik, pembelian minuman kolaborasi ini turut memberikan sarung cawan mengikut karakter berkaitan, selain satu coaster NIKKE secara rawak bagi setiap pembelian yang layak.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai barangan eksklusif menerusi aktiviti yang disediakan. Antaranya termasuk kad karakter, helaian pelekat, poskad ulang tahun keempat dan rantai kunci Shaker Charm yang boleh disesuaikan. Malah, 100 pengunjung terawal yang melengkapkan aktiviti ditetapkan turut berpeluang menerima beg tote eksklusif, tertakluk pada ketersediaan stok.
Sepanjang acara, pengunjung boleh menyertai sesi interaksi bersama cosplayer, kuiz, cabutan bertuah dan aktiviti bergambar. Terdapat juga Stamp Rally yang memerlukan peserta melengkapkan beberapa tugasan untuk mendapatkan peluang menyertai cabutan bertuah.

Bagi yang belum mengenali permainan ini, NIKKE: Goddess of Victory ialah permainan RPG penembak perspektif orang ketiga yang dibangunkan oleh SHIFT UP dan diterbitkan oleh Level Infinite. Ia mula dilancarkan secara global pada November 2022 dan kini meraikan ulang tahun keempat bersama komuniti pemainnya di seluruh dunia.
Sambutan di Malaysia bukan sekadar meraikan usia permainan ini, tetapi turut menjadi ruang untuk menghargai komuniti yang terus menyokong NIKKE sejak pelancaran globalnya. Pemain lama, mereka yang kembali bermain dan peminat baharu turut dialu-alukan untuk menyertai kemeriahan ini.

Tuntasnya, kolaborasi NIKKE bersama Doko Koko Pick-Up memberikan pengalaman berbeza kepada peminat dengan menggabungkan dunia permainan, makanan dan minuman serta aktiviti komuniti dalam satu lokasi. Bagi peminat NIKKE, inilah peluang untuk meraikan perjalanan empat tahun permainan tersebut dengan cara yang lebih dekat dan interaktif.
Untuk makluman, kolaborasi ini berlangsung sehingga 9 November 2026 di Doko Koko Pick-Up, LaLaport Bukit Bintang.