FALL 2: DEADPOINT — LEBIH EKSTREM, LEBIH MENCEMASKAN

Fall 2: Deadpoint meneruskan kisah Jax yang masih dihantui trauma selepas kehilangan kakaknya, Shiloh, yang dikenali sebagai Hunter dalam Fall. Kali ini, Jax kembali berdepan dengan cabaran kelangsungan hidup yang jauh lebih ekstrem apabila keadaan memaksanya berhadapan dengan situasi yang semakin sukar untuk diramal.

Berada di kawasan tinggi dan terdedah kepada jumantara, Jax perlu menggunakan segala keupayaan yang ada untuk terus bertahan. Dalam keadaan yang semakin mencemaskan, pawana yang bertiup turut menambahkan tekanan, manakala setiap detik yang berlalu seolah-olah memacu adrenalin ke tahap yang lebih tinggi.

Dari segi jalan penceritaan, Fall 2: Deadpoint terasa lebih mendalam dari sudut emosi dengan cabaran yang lebih ekstrem berbanding filem sebelumnya.

Penggunaan visual yang ringkas menjadi antara kekuatan filem ini kerana ia berjaya membuatkan setiap cabaran kelihatan hampir mustahil untuk diselamatkan.

Keadaan jumantara yang luas dan kedudukan watak yang kelihatan begitu kecil memberikan rasa gerun, terutama apabila filem mula bermain dengan ketinggian, ruang dan bahaya di sekeliling.

Elemen trauma yang melanda Jax selepas kehilangan Shiloh turut membantu menjadikan jalan penceritaan kali ini lebih bermakna dan tidak hanya bergantung kepada elemen kelangsungan hidup.

Trauma tersebut memberikan lapisan emosi kepada watak utama dan membuatkan perjuangannya untuk terus hidup terasa lebih peribadi.

Dalam masa yang sama, filem ini turut menawarkan lebih banyak plot twist berbanding filem pertama, sekali gus membuatkan beberapa perkembangan ceritanya sukar untuk dijangka.

Namun begitu, sesetengah babak pada bahagian awal dan pertengahan terasa agak perlahan sehingga momentum cerita sedikit terganggu. Penggunaan CGI dalam beberapa babak juga kelihatan agak ketara dan sedikit mengurangkan rasa realistik yang cuba dibina.

Pada babak kemuncak pula, penyuntingannya terasa agak mengganggu, khususnya melalui beberapa potongan yang membuatkan adegan tersebut kurang lancar. Saya tidak pasti sama ada perkara itu berpunca daripada penyuntingan atau memang sebahagian daripada versi asal filem.

Secara keseluruhannya, Fall 2: Deadpoint masih berjaya menawarkan pengalaman kelangsungan hidup yang mendebarkan dengan tahap adrenalin yang lebih tinggi, tetapi kali ini dengan penekanan yang lebih kuat terhadap emosi, trauma dan perkembangan watak.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi tempo, CGI dan penyuntingan, filem ini tetap memberikan pengalaman yang lebih berlapis dan ekstrem berbanding filem pertama.

Skor: 7/10