Apple dikatakan sedang membangunkan reka bentuk engsel baharu untuk MacBook Pro berskrin sentuh yang turut mempunyai kaitan dengan perancangan iPhone Duo generasi kedua dan ketiga. Perkembangan ini menarik perhatian kerana kedua-dua peranti mempunyai keperluan berbeza, tetapi berkongsi cabaran dari segi kestabilan dan ketahanan mekanisme fizikal.

Menurut maklumat Fixed Focus Digital telah mendakwa bahawa reka bentuk engsel MacBook Pro baharu berkait dengan pembangunan model iPhone Duo akan datang.
Perkara ini selari dengan laporan Mark Gurman yang menyatakan bahawa Apple mereka bentuk semula engsel MacBook Pro bagi memastikan skrin lebih stabil ketika disentuh. Penambahbaikan aliran udara di sekitar kawasan engsel turut dilaporkan sebagai sebahagian daripada perubahan tersebut.
Bagi MacBook Pro, penggunaan skrin sentuh memerlukan mekanisme engsel yang lebih kukuh supaya skrin tidak bergoyang secara berlebihan ketika pengguna menyentuhnya. Hal ini penting kerana Apple perlu memastikan pengalaman penggunaan skrin sentuh selesa tanpa menjejaskan reka bentuk dan ketahanan komputer riba.
Namun, persoalan yang lebih menarik ialah bagaimana pembangunan ini boleh memberikan manfaat kepada iPhone Duo generasi seterusnya.
Menurut laporan yang sama, Apple turut mempertimbangkan skrin dalaman lebih besar untuk model iPhone Duo akan datang, iaitu sekitar 7.9 hingga 8.1 inci berbanding 7.6 inci pada model semasa. Walau bagaimanapun, belum ada kepastian sama ada perubahan saiz skrin itu mempunyai kaitan langsung dengan reka bentuk engsel baharu yang sedang dibangunkan.

Pada pandangan saya, ketahanan engsel merupakan antara aspek terpenting bagi telefon pintar boleh lipat. Mekanisme tersebut perlu menampung penggunaan berulang kali, selain melindungi skrin daripada tekanan yang boleh menyebabkan kerosakan. Oleh itu, Apple perlu memastikan sebarang penambahbaikan bukan sekadar menjadikan engsel lebih stabil, tetapi turut meningkatkan ketahanan peranti untuk penggunaan jangka panjang.
Sekiranya teknologi yang dibangunkan untuk MacBook Pro dapat membantu Apple memperkemas reka bentuk mekanikal iPhone Duo, langkah ini berpotensi memberikan manfaat kepada kedua-dua kategori peranti. Namun, kita tidak boleh terus menganggap kedua-duanya akan menggunakan teknologi atau komponen yang sama kerana struktur dan fungsi setiap peranti berbeza.
Intihannya, reka bentuk engsel baharu MacBook Pro bukan sekadar berkaitan dengan penggunaan skrin sentuh, malah membuka ruang kepada persoalan tentang hala tuju pembangunan iPhone Duo. Kendatipun begitu, hubungan antara kedua-duanya masih berdasarkan dakwaan yang belum disahkan sepenuhnya oleh Apple.
Perkara yang lebih penting ialah sama ada penambahbaikan ini benar-benar mampu meningkatkan ketahanan dan pengalaman penggunaan peranti generasi seterusnya.