Apple Jelaskan Mengapa MacBook Pro Akhirnya Menerima Skrin Sentuh

Selepas bertahun-tahun mengekalkan pendirian bahawa komputer Mac tidak memerlukan skrin sentuh, Apple akhirnya mengubah pendekatannya menerusi MacBook Pro baharu dengan paparan PROLED XDR.

Menariknya, keputusan ini bukan sekadar memenuhi permintaan pengguna, tetapi turut mencerminkan kemajuan teknologi paparan, cip dan perisian yang membolehkan Apple merealisasikan ciri tersebut tanpa menjejaskan pengalaman penggunaan Mac.

John Ternus, menjelaskan bahawa MacBook Pro masih direka untuk penggunaan melalui papan kekunci dan pad jejak. Namun, terdapat keadaan apabila sentuhan terus pada skrin lebih mudah dan praktikal.

Pendekatan ini menarik kerana Apple selama ini membezakan pengalaman penggunaan Mac daripada iPad. Komputer Mac mengutamakan kawalan melalui penuding, papan kekunci dan pad jejak, manakala iPad direka untuk interaksi sentuhan. Apple bimbang penggunaan skrin sentuh pada komputer riba boleh menyebabkan ketidakselesaan apabila pengguna perlu mengangkat tangan berulang kali untuk menyentuh skrin.

Namun, menurut Johny Srouji, Ketua Pegawai Perkakasan Apple, kemajuan teknologi sepanjang sedekad lalu telah mengubah keadaan. Peningkatan teknologi paparan, cip rekaan sendiri dan seni bina perisian membolehkan Apple memenuhi piawaian yang ditetapkannya untuk menghasilkan MacBook Pro berskrin sentuh.

Apple turut menambah baik mekanisme engsel bagi mengurangkan gegaran skrin ketika disentuh. Sistem pengurusan haba juga direka semula supaya permukaan paparan tidak terasa terlalu panas ketika pengguna menatal, membesarkan imej atau menggunakan gerak isyarat sentuhan.

Dari segi perisian, macOS turut disesuaikan untuk memberikan pengalaman sentuhan yang lebih praktikal. Sebagai contoh, sesetengah kawalan pada skrin akan membesar apabila disentuh supaya lebih mudah dipilih dengan tepat. Pendekatan ini membolehkan pengguna beralih antara sentuhan, papan kekunci dan pad jejak tanpa perlu mengubah cara kerja mereka sepenuhnya.

Greg Joswiak, Naib Presiden Kanan Pemasaran Seluruh Dunia Apple, pula mengakui bahawa pengguna profesional semakin mengharapkan keupayaan tersebut, khususnya kerana mereka sudah biasa menggunakan skrin sentuh pada iPhone dan iPad. Bagi golongan yang bekerja dalam bidang kreatif, ciri ini boleh memudahkan tugasan seperti pelarasan warna video dan penyuntingan audio.

Pada pandangan saya, perubahan ini menunjukkan bahawa Apple akhirnya bersedia menerima pendekatan yang sudah lama digunakan oleh pengeluar komputer riba lain.

Namun, perkara yang lebih penting bukanlah siapa yang memperkenalkan skrin sentuh terlebih dahulu, sebaliknya bagaimana Apple mengintegrasikan fungsi tersebut tanpa mengorbankan pengalaman penggunaan Mac yang menjadi identitinya.

Intihannya, MacBook Pro berskrin sentuh menandakan perubahan besar dalam pendekatan Apple terhadap komputer riba profesional. Walaupun papan kekunci dan pad jejak kekal sebagai kaedah kawalan utama, pilihan untuk menyentuh skrin memberikan fleksibiliti tambahan kepada pengguna.

Persoalannya kini ialah sejauh mana ciri ini mampu meningkatkan produktiviti dalam penggunaan sebenar, terutama apabila harga permulaan MacBook Pro baharu di Malaysia mencecah RM11,999.