Selepas membuka tirai persaingan dengan penuh kemeriahan, pentas Gegar Vaganza Fantasia (GV13) minggu kedua bakal menyaksikan satu lagi cabaran menarik menerusi tema ‘Gen-Fantasia’, yang mengangkat lagu-lagu popular daripada alumni program realiti terkenal, Akademi Fantasia.

Menariknya, pemilihan tema ini bukan sahaja mengimbau kembali nostalgia perjalanan Akademi Fantasia yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tempatan, malah memberi peluang kepada sembilan peserta yang masih bertanding untuk mempersembahkan karya-karya yang cukup dekat dengan peminat muzik Malaysia.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Hasrat nyanyian Amir Jahari yang akan dibawakan oleh Vince, manakala Zahid pula bakal menguji kemampuan vokalnya menerusi lagu Jampi yang dipopularkan oleh Hael Husaini.

Mawi pula akan menyampaikan lagu Aku Yang Berdosa daripada Shahir, sementara Faizal diberikan tanggungjawab untuk membawakan lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz Suip.
Tidak ketinggalan, Mila bakal menghidupkan lagu Pematah Hati daripada Nabila Razali, manakala Stacy akan membawa lagu Mewangi nyanyian Akim & The Majistret.

Shahir pula akan mempersembahkan lagu Hidup Dalam Mati yang dipopularkan oleh Syamel, sementara Faizul bakal menyampaikan Mimpi nyanyian Aisyah Aziz. Melengkapkan senarai persembahan minggu kedua, Firman akan membawakan lagu Saksama daripada Akim & The Majistret.
Pentas minggu kedua turut dimulakan dengan persembahan pembukaan menerusi lagu Menggegar Dunia, nyanyian asal Adam dan Stacy, yang bakal diserikan oleh pengacara Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.

Dari segi penjurian, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat kekal menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap bagi menilai persembahan serta perkembangan setiap peserta.
Dengan pemilihan lagu yang mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri, tema ‘Gen-Fantasia’ pastinya menjanjikan persaingan yang lebih menarik. Persoalannya, mampukah kesemua peserta memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu popular ini, atau adakah nostalgia lagu asal bakal menjadi cabaran terbesar buat mereka?
Saksikan Gegar Vaganza Fantasia minggu kedua untuk mengetahui siapakah yang bakal mencuri perhatian dan terus mengukuhkan kedudukan dalam persaingan GV13.