The Hunger Games: Sunrise on the Reaping merupakan sebuah naskhah yang membawa penonton kembali ke dunia Panem, sekali gus membuka lembaran penting dalam sejarah permainan kejam yang menjadi tunjang kepada francais ini. Lebih daripada sekadar sebuah prekuel, filem ini berperanan sebagai jambatan naratif yang menghubungkan peristiwa dalam The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snakes dengan trilogi asal, The Hunger Games sehingga Mockingjay.

Berlatarbelakangkan Sukan Kelaparan ke-50, cerita ini mengikuti perjalanan Haymitch Abernathy ketika terpilih sebagai salah seorang peserta Daerah 12 untuk menyertai edisi istimewa permainan tersebut. Dengan jumlah peserta yang lebih besar berbanding kebiasaan, Haymitch bukan sahaja perlu berjuang untuk terus hidup, malah berhadapan dengan sistem pemerintahan Panem yang penuh manipulasi, kekejaman dan ketidakadilan.
Secara peribadi, saya melihat Sunrise on the Reaping sebagai sebuah filem yang sememangnya ditujukan khusus buat peminat setia The Hunger Games. Banyak elemen penceritaan yang mempunyai hubungan rapat dengan trilogi asal, termasuk beberapa peristiwa dan watak yang memberikan perspektif baharu terhadap dunia Panem. Kendatipun begitu, ini tidak bermakna penonton yang belum pernah mengikuti filem-filem terdahulu akan berasa terpinggir. Jalan ceritanya masih boleh diikuti dengan baik kerana konflik utama dibina secara tersendiri dan mempunyai matlamat yang jelas.

Dari sudut penceritaan, filem ini bergerak sedikit perlahan, khususnya pada bahagian awal yang lebih banyak memberikan ruang kepada elemen drama, hubungan peribadi dan percintaan. Namun, pendekatan tersebut bukanlah sesuatu yang menjejaskan keseluruhan naskhah. Sebaliknya, ia membantu membina latar emosi watak-watak sebelum penonton dibawa menyelami konflik sebenar yang menjadi tunjang kepada Sukan Kelaparan.

Walaupun terdapat beberapa bahagian yang terasa panjang, filem ini masih mengekalkan roh asal francaisnya. Persoalan tentang kuasa, penindasan, pengorbanan dan perjuangan untuk mendapatkan kebebasan terus menjadi asas kepada penceritaan. Di sebalik permainan yang dipersembahkan sebagai hiburan kepada golongan pemerintah, tersimpan sisi gelap sebuah sistem yang menjadikan nyawa manusia sebagai taruhan.
Satu perkara yang sedikit mengecewakan saya ialah babak pertarungan di medan Sukan Kelaparan. Saya mengharapkan persembahan yang lebih intensif dan mendebarkan, memandangkan edisi ke-50 ini mempunyai skala permainan yang lebih besar. Namun, selepas filem ini sampai ke penghujungnya, barulah saya memahami konteks dan tujuan pendekatan tersebut. Rupanya, ada sesuatu yang lebih besar ingin disampaikan selain sekadar memperlihatkan pertempuran untuk menentukan siapa yang bakal terselamat.

Di sinilah kekuatan sebenar Sunrise on the Reaping. Filem ini bukan semata-mata mahu menceritakan bagaimana seseorang peserta bertahan dalam permainan yang kejam, tetapi turut memperlihatkan bagaimana sebuah perjuangan boleh bermula daripada ketidakadilan yang disaksikan sendiri. Kita juga berpeluang memahami akar kepada beberapa peristiwa penting yang kemudiannya membentuk perjalanan trilogi asal.
Lebih menarik, melalui perjalanan Haymitch, penonton bakal menyaksikan bagaimana lahirnya seorang individu yang akhirnya memainkan peranan penting dalam mengubah nasib rakyat yang hidup di bawah pemerintahan Panem. Sesuatu yang pada awalnya kelihatan seperti perjuangan untuk menyelamatkan diri akhirnya membawa makna yang jauh lebih besar terhadap masa depan sebuah negara.

Tuntasnya, The Hunger Games: Sunrise on the Reaping mungkin bukan sebuah filem yang sentiasa bergerak pantas atau dipenuhi aksi dari awal hingga akhir. Namun, kekuatan emosinya, hubungan dengan francais terdahulu dan pendedahan terhadap sejarah Panem menjadikan naskhah ini cukup bermakna, khususnya buat peminat yang telah mengikuti perjalanan The Hunger Games sejak awal. Sebuah prekuel yang bukan sahaja melengkapkan sejarah, tetapi memberikan makna baharu terhadap perjuangan yang pernah kita saksikan sebelum ini.
Skor: 7.5/10