Focker-in-Law (2026): Menghiburkan Daripada Jangkaan

Francais komedi Meet the Parents kembali dengan sebuah naskhah terbaharu menerusi Focker-in-Law (2026), yang menyaksikan gabungan semula dua nama besar Hollywood, Ben Stiller dan Robert De Niro. Kali ini, mereka turut digandingkan dengan penyanyi dan pelakon terkenal, Ariana Grande, yang membawa watak baharu dalam keluarga Focker.

Filem arahan John Hamburg ini merupakan kesinambungan kepada francais Meet the Parents, Meet the Fockers dan Little Fockers.

Kisah kali ini memfokuskan kepada Greg Focker (Ben Stiller) yang berdepan satu lagi cabaran dalam kehidupan berkeluarga apabila anak lelakinya, Henry Focker (Skyler Gisondo), memperkenalkan teman wanitanya, Olivia Jones (Ariana Grande), kepada keluarga. Keadaan mula menjadi semakin menarik apabila Henry menyatakan hasrat untuk melamar Olivia. Namun, Greg mempunyai pandangan berbeza dan mula meragui kesesuaian Olivia sebagai pasangan hidup anaknya.

Lebih menarik, Olivia bukanlah wanita biasa seperti yang disangka. Dia mempunyai latar belakang sebagai perunding kehidupan dan bekas perunding rundingan tebusan FBI. Keadaan menjadi semakin rumit apabila Jack Byrnes (Robert De Niro), bapa mentua Greg yang juga bekas ejen CIA, sebaliknya menerima Olivia dengan begitu baik. Bermula daripada situ, tercetus pelbagai situasi lucu, persaingan dan salah faham yang menghidupkan kembali dinamika komedi keluarga Focker.

Selain Ben Stiller, Robert De Niro dan Ariana Grande, filem ini turut menampilkan Skyler Gisondo sebagai Henry Focker, Teri Polo sebagai Pam Focker, Blythe Danner sebagai Dina Byrnes, Owen Wilson sebagai Kevin Rawley, Beanie Feldstein sebagai Samantha Focker dan Eduardo Franco sebagai Eduardo Villalobos.

Secara peribadi, saya sangat terhibur dengan Focker-in-Law. Filem ini menawarkan komedi bersahaja yang disampaikan menerusi dialog spontan, situasi janggal dan gelagat setiap watak. Namun begitu, saya perlu tegaskan bahawa terdapat beberapa dialog yang mempunyai unsur bahasa separa lucah serta jenaka berunsur dewasa. Justeru, saya tidak menggalakkan kanak-kanak menonton filem ini.

Antara perkara yang paling menarik perhatian saya ialah lakonan Ariana Grande. Sejujurnya, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap kemampuan lakonannya dalam naskhah komedi seperti ini. Namun, Ariana berjaya membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar penyanyi berbakat, malah mempunyai keupayaan komedi yang cukup menghiburkan. Gandingannya bersama Ben Stiller dan Robert De Niro juga memberikan impak yang cukup baik sepanjang filem ini berlangsung.

Dengan durasi sekitar 1 jam 45 minit, saya langsung tidak berasa bosan. Setiap babak mempunyai elemen komedi tersendiri dan berjaya mengekalkan perhatian saya dari awal hingga ke penghujung cerita. Paling penting, jalan penceritaannya disusun dengan baik, tidak terlalu meleret dan mempunyai kesinambungan yang membuatkan penonton mahu mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya.

Saya juga menyukai cara konflik antara Greg dan Olivia dibangunkan. Hubungan mereka menjadi tunjang kepada kebanyakan situasi lucu dalam filem ini. Malah, penamat yang dipersembahkan juga cukup memuaskan dan memberikan penyelesaian yang baik kepada keseluruhan penceritaan.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, pada awalnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem ini. Namun, ternyata Focker-in-Law berjaya memberikan pengalaman tontonan yang jauh lebih menghiburkan daripada jangkaan saya. Saya boleh duduk di kerusi pawagam sehingga filem ini tamat tanpa sedikit pun rasa jemu atau bosan.

Jika anda sedang berduka, mengalami tekanan atau sekadar mahu mencari hiburan selepas penat menjalani rutin harian, saya boleh katakan filem ini antara pilihan yang sesuai untuk anda. Ada kalanya, kita hanya memerlukan sebuah filem komedi yang mampu membuatkan kita ketawa tanpa perlu memikirkan perkara lain.

Walakin begitu, saya ingin mengingatkan bahawa filem ini mempunyai beberapa dialog dan jenaka berunsur dewasa. Oleh itu, saya lebih menggalakkan penonton berusia 18 tahun ke atas untuk menontonnya, khususnya mereka yang selesa dengan komedi yang mempunyai unsur bahasa separa lucah.

Tuntasnya, Focker-in-Law merupakan sebuah filem komedi yang berjaya memenuhi tujuan utamanya, iaitu menghiburkan penonton. Gabungan lakonan Ben Stiller, Robert De Niro dan Ariana Grande menjadi antara kekuatan utama naskhah ini. Bagi saya, filem ini tidak memerlukan jalan cerita yang terlalu kompleks untuk memberikan hiburan yang berkesan.

Jika anda mahukan sebuah filem yang mampu menceriakan hari dan membuatkan anda ketawa sepanjang tontonan, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Focker-in-Law.