Hope mengisahkan sebuah perkampungan kecil yang tiba-tiba berdepan kemunculan makhluk asing yang menggerunkan. Filem Korea ini membawa penonton mengikuti dua sudut penceritaan, iaitu seorang pegawai polis di kawasan pekan dan sekumpulan pemburu di kawasan hutan.

Kedua-dua jalan cerita pada awalnya bergerak secara berasingan sebelum kemunculan makhluk tersebut mengubah keadaan dan membawa cerita ke arah yang lebih dramatik.
Menariknya, pengarah tidak terus mendedahkan rupa atau asal-usul makhluk tersebut. Sebaliknya, penonton hanya diberikan petunjuk melalui kejadian pelik, termasuk kematian haiwan ternakan tanpa diketahui puncanya.

Namun, bagi saya, bahagian awal filem ini merupakan cabaran terbesar. Babak pertama terasa terlalu perlahan dan berulang, terutama bagi penonton yang kurang menggemari rentak penceritaan sebegini.
Saya memahami pendekatan pengarah yang mahu mengekalkan unsur misteri, tetapi apabila terlalu lama menahan kemunculan makhluk tersebut, rasa ingin tahu akhirnya bertukar menjadi kebosanan.

Selepas hampir sejam menunggu, saya sendiri mula tertanya-tanya bilakah makhluk ini akan benar-benar diperlihatkan. Walaupun begitu, kesabaran tersebut mula berbaloi apabila filem memasuki bahagian kedua dan ketiga.
Apabila makhluk tersebut mula mengubah keadaan di perkampungan, rentak filem bergerak dengan lebih pantas. Aksi, ketegangan dan pertembungan manusia dengan makhluk asing menjadi lebih dominan.

Bahagian hutan pula bagi saya jauh lebih menarik kerana mempunyai lebih banyak aksi dan suasana yang mendebarkan. Beberapa adegan juga cukup menggerunkan, khususnya yang melibatkan serangan terhadap manusia.
Terdapat juga unsur kelucuan yang diselitkan pada beberapa ketika untuk memberikan sedikit ruang kepada penonton sebelum cerita kembali kepada suasana serius. Cuma, kualiti imejan janaan komputer dalam beberapa babak, khususnya ketika kejar-mengejar melibatkan anggota polis, agak kurang meyakinkan.

Selain itu, terdapat beberapa perkara yang membuatkan saya mempersoalkan kewajaran cerita, terutama ketika seorang pemuda pemburu bertarung dengan makhluk tersebut.
Saya boleh menerima kekuatan luar biasa makhluk asing kerana itu memang sebahagian daripada dunia filem ini. Namun, keupayaan seorang manusia biasa untuk terus bertahan selepas menerima hentaman yang begitu kuat terasa kurang munasabah.
Tubuh manusia tetap mempunyai batas fizikal. Walaupun begitu, saya masih mempersoalkan asal-usul makhluk tersebut dan bagaimana mereka boleh sampai ke bumi.
Pengalaman menonton saya juga menjadi lebih menarik kerana menggunakan format ScreenX di Aurum Theatre The Exchange TRX . Paparan pada skrin utama turut diperluas ke bahagian kiri dan kanan sehingga memberikan sudut pandangan sekitar 270 darjah.

Dalam beberapa babak aksi, penggunaan paparan sisi ini memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dan mengasyikkan. Berbalik kepada cerita, bahagian hutan sememangnya menjadi antara kekuatan utama Hope.
Namun, selepas filem tamat, masih banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya. Mengapa makhluk ini datang? Apakah tujuan mereka? Apakah yang sebenarnya berlaku kepada mereka? Bagi saya, persoalan yang belum terjawab ini mungkin disengajakan untuk membuka ruang kepada kesinambungan cerita.
Secara keseluruhannya, Hope bukanlah filem yang sempurna. Bahagian awalnya perlahan, terdapat beberapa kelemahan pada imejan janaan komputer dan ada adegan yang membuatkan saya mempersoalkan logik fizikalnya.

Namun, apabila memasuki bahagian kedua dan ketiga, filem ini berubah menjadi lebih agresif, mendebarkan dan menghiburkan. Aksi, unsur ngeri, keganasan melampau dan makhluk asing yang menggerunkan berjaya memberikan pengalaman yang jauh lebih menarik.
Jadi, jika anda peminat filem Korea, aksi, seram, keganasan melampau dan makhluk asing, saya rasa Hope masih berbaloi untuk ditonton. Jangan biarkan bahagian awal yang perlahan membuatkan anda terus menganggap filem ini tidak menarik kerana kesabaran itu akhirnya dibayar dengan bahagian akhir yang jauh lebih rancak.