Larian Mesra 2026 Himpunkan Komuniti, Raikan Gaya Hidup Sihat

Mesra Mall, Kemasik menjadi tumpuan kira-kira 2,000 peserta menerusi penganjuran Mesra Run 2.0 bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri Terengganu.

Dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, program ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti kecergasan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti menerusi sukan dan rekreasi.

Penganjuran kali ini mengetengahkan tiga inisiatif utama, iaitu Larian Mesra, Mesra Care dan Mesra Active. Pelbagai aktiviti turut disediakan untuk pengunjung, termasuk perlumbaan pushbike, sukan dron dan pertandingan mewarna, sekali gus menjadikan acara ini lebih menarik untuk seisi keluarga.

Menariknya, Suria KLCC turut membawa wakil media dan pempengaruh dari Kuala Lumpur ke Mesra Mall bagi bersama-sama meraikan kemeriahan Larian Mesra 2026.

Saya sendiri berasa sangat teruja dapat menyertai acara ini, apatah lagi melihat gelagat pengunjung dan para pelari yang sudah mula membanjiri kawasan acara seawal jam 6.30 pagi. Suasana cukup meriah dengan masing-masing hadir membawa semangat untuk berlari, beriadah dan meluangkan masa bersama komuniti.

Kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Suria KLCC atas peluang dan layanan yang diberikan sepanjang perjalanan ini. Hospitaliti yang disediakan sememangnya meninggalkan kesan positif, termasuk hidangan nasi dagang yang lazat, sekali gus melengkapkan pengalaman kami sepanjang berada di Terengganu.

Walau bagaimanapun, keadaan jerebu menyebabkan acara larian sejauh 10 kilometer dibatalkan atas faktor keselamatan. Peserta kemudiannya hanya menyertai larian sejauh lima kilometer. Meskipun terdapat perubahan pada perancangan asal, semangat kesukanan tetap diteruskan.

Bagi saya, Larian Mesra 2026 bukan sekadar tentang jarak yang ditempuh atau siapa yang tiba dahulu di garisan penamat. Lebih daripada itu, acara seperti ini menyatukan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat dan mencipta pengalaman bermakna bersama komuniti.

Semoga inisiatif seperti ini terus dianjurkan pada masa hadapan, sekali gus menjadikan sukan sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia.