UNGU 3 DASAWARSA: TIGA DEKAD, RIBUAN KENANGAN DAN SATU MALAM PENUH EMOSI

Tiga dekad dalam industri muzik bukanlah perjalanan yang singkat. Namun, Ungu membuktikan bahawa masa tidak pernah menghakis kekuatan sesebuah karya apabila hampir 4,000 peminat memenuhi Idea Live Arena, Kuala Lumpur bagi menyaksikan konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur.

Konsert yang meraikan 30 tahun perjalanan kumpulan dari Indonesia itu berlangsung dalam suasana cukup meriah, dengan peminat daripada pelbagai generasi sama-sama menghidupkan setiap detik persembahan.

Persembahan dibuka dengan Cindai, lagu yang dipopularkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sebelum Ungu membawa penonton menyusuri deretan karya popular seperti Cinta Gila, I Need You, Ciuman Pertama, Hampa Hatiku dan Percaya Padaku.

Pemilihan lagu yang pelbagai menjadikan persembahan tidak terasa mendatar kerana setiap satunya membawa warna dan kisah tersendiri.

Apa yang paling menyerlah pada malam tersebut ialah tenaga Pasha sebagai vokalis. Persembahannya tidak sekadar bergantung pada kekuatan vokal, malah dipenuhi interaksi, pergerakan dan penghayatan yang membuatkan pentas terasa hidup.

Setiap lagu seakan-akan mempunyai penceritaan tersendiri, daripada kisah cinta, kehilangan dan kerinduan hinggalah kepada persoalan kehidupan. Segmen seperti Sejauh Mungkin, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati pula mengubah suasana kepada lebih romantik dan emosional, sebelum Andai Ku Tahu serta Bila Tiba membawa sisi yang lebih syahdu dan dekat dengan kerohanian.

Kemunculan Marsha Milan turut menjadi antara detik yang mencuri perhatian apabila beliau bergandingan dengan Ungu menerusi Bismillah Cinta dan Tercipta Untukku. Gabungan vokal Pasha dan Marsha memberikan warna berbeza kepada persembahan, sekali gus menghasilkan momen yang lebih emosional di hadapan ribuan peminat.

Bagi Geng Galau, malam tersebut turut mempunyai nilai tersendiri apabila pihak penganjur memberikan jemputan kepada media Xavier Naxa untuk bersama-sama memeriahkan konsert. Lebih istimewa, Presiden Geng Galau, Fareeq Zakwan, turut diberikan kepercayaan untuk menjadi salah seorang pengacara majlis. Kepercayaan tersebut dianggap sebagai satu penghargaan dan pengalaman yang cukup bermakna.

“Saya amat menghargai peluang serta kepercayaan daripada pihak penganjur. Walaupun jemputan tersebut agak mengejut, ia merupakan satu pengalaman berharga, lebih-lebih lagi dalam konsert ini,” ujar Fareeq Zakwan.

Kemuncak malam hadir apabila Demi Waktu dinyanyikan bersama-sama hampir keseluruhan penonton. Ribuan suara bergabung menyanyikan lagu yang sudah begitu sinonim dengan Ungu, membuktikan bahawa karya mereka bukan sekadar didengar, tetapi telah menjadi sebahagian daripada memori dan perjalanan hidup peminat. Konsert kemudiannya ditutup dengan Seperti Mati Lampu dalam suasana yang kembali bertenaga.

Ungu 3 Dasawarsa akhirnya menjadi lebih daripada sekadar sebuah konsert ulang tahun. Ia merupakan pertemuan antara muzik, kenangan dan emosi yang dibina selama 30 tahun. Daripada pembukaan Cindai sehingga penutup Seperti Mati Lampu, Ungu berjaya membuktikan bahawa kekuatan sesebuah kumpulan bukan hanya terletak pada berapa lama mereka berada dalam industri, tetapi pada sejauh mana karya mereka terus hidup dalam ingatan pendengar.

Malam itu, hampir 4,000 peminat bukan sekadar hadir menonton Ungu, tetapi turut meraikan sebahagian daripada kisah hidup mereka sendiri melalui lagu-lagu yang pernah menemani mereka.