PICO telah melancarkan sistem pengendalian generasi baharunya, PICO OS 6, serta memperlihatkan pratonton awal set kepala realiti lanjutan (XR) yang sedang dibangunkan dengan nama kod Project Swan.
Sistem pengendalian ini bukan sekadar kemas kini kecil, sebaliknya dibina semula secara menyeluruh bagi memperkemas pengalaman pengkomputeran spatial.

Melalui seni bina baharu, PICO OS 6 membolehkan aplikasi dua dimensi, pengalaman tiga dimensi, persekitaran maya dan dunia fizikal berfungsi secara serentak dengan lebih lancar.Bagi melengkapkan pengalaman tersebut, PICO turut merancang pelancaran set kepala baharu yang menggabungkan perkakasan dipertingkat dengan keupayaan sistem pengendalian ini.
Antara pembaharuan utama dalam PICO OS 6 ialah PICO Spatial Engine, iaitu enjin pemaparan grafik yang mengubah cara pemprosesan visual dijalankan.
Jika sebelum ini pemaparan grafik diuruskan oleh aplikasi secara berasingan, kini keseluruhan proses dipindahkan ke peringkat sistem pengendalian. Pendekatan ini membolehkan aplikasi 2D, objek 3D, persekitaran maya dan dunia sebenar dipaparkan serentak dengan respons yang pantas, sekali gus menghasilkan pengalaman yang lebih lancar apabila elemen maya digabungkan dengan persekitaran sebenar.
Berteraskan teknologi ini, PICO OS 6 turut memperkenalkan konsep multitugas spatial. Pengguna boleh berkolaborasi pada model tiga dimensi bersama rakan sekerja yang muncul sebagai avatar, sambil mengekalkan pelayar web atau nota yang terapung di ruang kerja fizikal.
Sistem inputnya juga direka agar lebih intuitif tanpa memerlukan mod khas. Pengguna boleh mengawal navigasi dengan gerakan pandangan dan cubitan jari, menggunakan pengawal XR untuk permainan, atau papan kekunci dan tetikus bagi tugasan produktiviti.
Bagi lebih 2,600 institusi perusahaan yang menggunakan ekosistem PICO, seni bina baharu ini menyediakan ruang kerja digital yang lebih stabil dan responsif untuk kerjasama profesional dalam persekitaran spatial.
PICO OS 6 turut dibangunkan berasaskan prinsip ekosistem terbuka. Sistem ini menyokong pelbagai jenis aplikasi termasuk aplikasi spatial, OpenXR, WebXR, aplikasi Android, aplikasi web serta penstriman PC VR.

Semua platform ini disepadukan sebagai komponen utama dalam sistem bagi memastikan pengalaman pengguna yang lebih menyeluruh serta memudahkan pembangun membangunkan aplikasi merentas ekosistem.Bagi komuniti pembangun, PICO turut menyediakan set alat pembangunan baharu seperti PICO Spatial SDK berasaskan Kotlin dan sistem antara muka yang memudahkan reka bentuk aplikasi melalui API berasaskan komponen.
Dengan sokongan pemalam untuk Android Studio serta emulator desktop baharu, pembangun boleh mereka bentuk, menulis kod dan menguji aplikasi tanpa memerlukan set kepala XR.
Selain itu, PICO turut memperkenalkan WebSpatial, rangka kerja sumber terbuka yang membawa teknologi web seperti HTML, CSS dan React ke dalam pengkomputeran spatial. Pendekatan ini membolehkan pembangun menghasilkan aplikasi merentas platform yang boleh dijalankan pada PICO OS, VisionOS dan AndroidXR tanpa perlu pemasangan khas.
Sokongan terhadap Unity dan Unreal Engine juga dipertingkatkan. Melalui integrasi baharu ini, pembangun boleh membangunkan permainan realiti campuran yang boleh berjalan seiring dengan aplikasi 2D dan 3D lain.
Ini membolehkan pemain bermain permainan sambil melakukan panggilan video atau melayari web melalui tetingkap terapung.Walaupun PICO OS 6 menyediakan asas perisian, potensi sebenar platform ini bergantung kepada kemajuan perkakasan yang akan direalisasikan melalui Project Swan.
Peranti ini menyasarkan beberapa penambahbaikan utama dalam industri XR. Antaranya ialah penggunaan paparan MicroOLED generasi baharu dengan ketumpatan hampir 4,000 piksel per inci, kira-kira sembilan kali ganda berbanding telefon pintar utama masa kini.
Teknologi optik ini menawarkan purata sekitar 40 piksel setiap darjah (PPD), dengan bahagian tengah melebihi 45 PPD, sekali gus menghasilkan paparan teks yang lebih tajam dan sesuai untuk kegunaan profesional.
Project Swan turut memperkenalkan reka bentuk dua cip pemproses bagi mengendalikan proses realiti campuran yang kompleks. Peranti ini dilengkapi cip XR khusus yang menguruskan sistem persepsi dan pengimejan dengan menggabungkan data daripada pelbagai sensor untuk membina gambaran dunia fizikal secara hampir masa nyata dengan kelewatan sekitar 12 milisaat.
Selain itu, ia turut menggunakan cip sistem utama berprestasi tinggi yang menawarkan peningkatan prestasi CPU dan GPU lebih dua kali ganda berbanding platform XR2 Gen 2 sedia ada. Project Swan disasarkan untuk pelancaran global pada penghujung tahun 2026.
Seiring dengan pengumuman ini, PICO turut membuka PICO Global Early Access Program, iaitu program akses awal bagi pengguna berpengalaman untuk menyertai ujian beta tertutup bagi Project Swan dan PICO OS 6.
Melalui program ini, PICO ingin mendapatkan maklum balas teknikal yang terperinci bagi memastikan keserasian antara sistem pengendalian baharu dan perkakasan utama berada pada tahap terbaik sebelum pelancaran rasmi.
Ditubuhkan pada tahun 2015, PICO merupakan antara peneraju inovasi dalam teknologi realiti maya dan realiti campuran bersepadu.
Syarikat ini memberi tumpuan kepada pembangunan platform XR yang menyatukan pencipta, pembangun dan perniagaan, sekali gus membuka lebih banyak kemungkinan dalam ekosistem digital global. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi PICO.
