Syahadan memikirkan masa depan iOS yang sama jasadnya, zatnya dan pengalamannya, telah membuat ramai jemu dan memilih Android sebagai penggantinya. Bila bicara tentang evolusi, saban tahun kita dimomokkan dengan berita manis tentang iOS.
Setiap tahun jugalah saya dikritik kerana apa yang diimpikan sekadar ilusi.Walau bagaimanapun, berita terkini daripada Bloomberg telah menzahirkan rasa berangta untuk ketahui lebih lagi akan hal tersebut.

Menurut Bloomberg, Apple merancang untuk membaik pulih (overhaul) antara muka (UI) iOS, iPadOS dan macOS dengan mengubah secara asas rupa sistem operasi serta pengalaman rentas platform yang lebih konsisten.
Secara dasar, pengemaskinian melibatkan ikon, menu, aplikasi, tetingkap serta butang sistem.Lebih menarik lagi, Bloomberg menganggap perubahan kali ini terbesar untuk iOS sejak iOS 7 manakala macOS sejak lahirnya Big Sur.

Terdapat laporan UI terbaharu akan mengambil genetik visionOS yang menampilkan ikon aplikasi yang bulat, elemen 3D serta kelutcahayaan (translucency).

Perubahan ini diharap dapat menarik kembali minat pengguna terhadap iPhone, iPad dan Mac.

Bulan Jun ini bakal menjawab segala teka teki dengan hadirnya iOS 19, iPadOS 19 serta macOS 16.
Ketiga-tiga sistem operasi ini akan dipertonton sewaktu Persidangan Pembangun Sedunia (WWDC) kelak.

Kali terakhir iOS mengalami perubahan radikal sewaktu iOS 7 dilancarkan iaitu 12 tahun lalu. Jika anda menonton acara tersebut, kita boleh melihat reaksi penonton di sana serta di rumah yang afsun melihat perubahan yang berlaku terhadap iOS 7.



Penciptaan iOS 7 hasil kerjasama Jony Ive serta Craig Federighi yang mengambil alih tugas yang selama ini dipimpin oleh Scott Forstall.

Pemecatan Scott Forstall telah mengubah UI dari Skeuomorphism kepada Flat.Sekiranya iOS 19, iPadOS 19 serta macOS 16 mengalami perubahan radikal dari segi UI.

Saya ingin melihat sejauh mana Alan Dye mampu menambat hati kita semua seperti yang dilakukan oleh Jony Ive sebelum ini.
Tidak dinafikan, Alan Dye antara individu disebalik pembangunan UI untuk iOS 7.Walau bagaimanapun, tulang belakang utama terciptanya iOS adalah dari kepimpinan Jony Ive.

Pada ketika ini terlalu awal untuk menoktahkan laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg.Embuh-embuhan begitu, kita tidak boleh mengesampingkan laporan tersebut, kerana ia datang dari sumber yang dipercayai.
Saya faham, ramai yang kecewa saat bicara tentang ini, akhirnya jawaban tetap sama.Saya juga sama seperti anda, perasaan sedih itu ada kerana mengharapkan sesuatu mimpi menjadi realiti yang akhirnya jadi ilusi.
Namun saya berpegang kepada satu prinsip Falasi Ad Hominem, lihatlah apa yang dikatakan, bukan siapa yang mengatakan.
SEKADAR PANDANGAN