in

Angkat : Penzahiran Komedi Gelap Penuh Makna

Angkat ialah sebuah karya komedi gelap arahan Feisal Azizuddin yang tampil dengan cita rasa berbeza. Dibintangi Firdaus Karim, Sky Iskandar, Syazani Zikry dan Sara Mack Lubis, keempat-empatnya memberikan lakonan yang segar dan penuh jiwa.

Kisahnya berkisar tentang tiga beradik yang sejak kecil dipulaukan oleh bapa mereka. Luka lama itu berubah menjadi dendam yang membeku di hati hingga dewasa.

Saat masing-masing telah berjaya dalam hidup, berita pemergian bapa yang jauh dari mereka selama ini mengubah segalanya.

Dengan hati yang berat, mereka pulang ke kampung bukan kerana rela, tetapi terpaksa.Awalnya, mereka mencadangkan agar bapa dikebumikan di Kuala Lumpur memandangkan arwah meninggal secara mengejut di sana.

Namun, rayuan ibu memaksa mereka membawa pulang jenazah ke kampung halaman. Waktu itu, pandemik Covid-19 masih mengganas, dan van jenazah yang terhad membuatkan mereka terpaksa menggunakan kenderaan lama yang uzur.

Lagi artikel di ifon.my  This Land of Mine : Misteri Pulau Raksasa?

Apa yang sepatutnya perjalanan mudah berubah menjadi tragedi apabila van itu rosak teruk di pertengahan jalan.

Dari situlah bermula perjalanan yang penuh makna tersirat apabila tiga beradik ini sendiri terpaksa mengusung jenazah ayah mereka pulang ke rumah. Walaupun Angkat ialah filem indie dengan bajet sekitar RM700 ribu, kekuatannya terletak pada jiwa dan mesej yang dibawakan.

Feisal Azizuddin mengadun humor, sindiran, dan emosi dengan rapi, sambil menyelitkan makna tentang pengorbanan, kasih sayang, kepercayaan, penghormatan, dan kejujuran.

Ada juga elemen “gelap” yang mungkin hanya difahami oleh penonton dewasa. Menariknya, walaupun kisahnya melibatkan jenazah, hanya satu babak dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem dan itu pun tidak mencacatkan perjalanan cerita.

Lagi artikel di ifon.my  Filem Angkat Tawar Tiket Serendah RM10 Termurah Pernah Ditayangkan di Malaysia

Benar, ada sedikit kecacatan teknikal seperti keadaan jenazah yang kadangkala kelihatan meyakinkan, kadangkala tidak. Tetapi bagi sebuah naskah indie, kelemahan itu kecil jika dibandingkan dengan kekuatan penceritaannya.

Angkat mengingatkan kita bahawa mudah untuk meletakkan segala kesalahan di bahu ibu bapa, sedangkan kita sendiri belum tentu sempurna. Setiap pengorbanan mereka ada sebabnya, walau kita tidak memahaminya pada waktu itu.

Jangan kerana satu kesilapan, kita hapuskan segala jasa.Filem ini akan mula ditayangkan pada 14 Ogos di pawagam seluruh Malaysia.

Tiket kini dibuka pada harga RM10 sahaja, yang boleh dibeli di TGV. Sokonglah filem tempatan kerana tanpa kita, karya ini hanyalah jasad tanpa roh.

Skor : 5.8/10 (58%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Didie Shazly Juara Raise The Star Malaysia Musim Pertama