Menghasilkan semula sebuah filem seram yang sudah dianggap ikonik bukanlah tugasan mudah. Itulah cabaran yang cuba disahut menerusi 402 Rumah Sakit Angker Korea, sebuah produksi Indonesia yang mengadaptasi konsep filem seram Korea popular, Gonjiam: Haunted Asylum. Malangnya, meskipun percubaan ini wajar dipuji, pelaksanaannya masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

Filem ini mengisahkan sekumpulan influencer paranormal yang berhasrat membongkar misteri Bilik 402 di Hospital Yogwon yang telah lama terbiar di Korea.
Misi mereka bermula sebagai satu sesi siaran langsung yang kelihatan berjalan lancar, sebelum bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pelbagai kejadian aneh mula berlaku dan akhirnya mengundang tragedi yang dahsyat.

Bagi mereka yang pernah menonton filem asal, persamaan antara kedua-dua karya ini cukup ketara. Namun, di sinilah timbul kelemahan terbesar filem ini.
Babak awal hingga pertengahan bergerak terlalu perlahan sehingga menghilangkan momentum dan gagal membina rasa seram yang benar-benar berkesan. Hanya apabila memasuki babak klimaks, barulah filem ini mula memberikan impak yang sepatutnya.
.jpg)
Dari aspek lakonan, setiap pelakon berjaya memberikan persembahan yang meyakinkan. Mereka memainkan peranan dengan baik, namun kekuatan lakonan sahaja tidak mampu menyelamatkan kelemahan dari sudut pengarahan dan penyampaian suasana seram.

Kesan khas juga menjadi antara aspek yang paling mengecewakan. Babak barangan yang terapung dan terhempas jelas kelihatan seperti prop, sekali gus mengurangkan rasa realistik. Begitu juga beberapa adegan kerasukan yang sepatutnya menjadi detik paling menyeramkan, tetapi gagal meninggalkan kesan mendalam.
Memandangkan saya sudah menonton Gonjiam: Haunted Asylum, perbandingan antara kedua-duanya sukar dielakkan. Kualiti penceritaan, pembinaan suasana serta penyampaian elemen seram dalam filem asal masih jauh mengatasi versi ini.
Secara keseluruhannya, 402 Rumah Sakit Angker Korea tetap merupakan satu percubaan yang baik oleh produksi Indonesia untuk mengadaptasi sebuah filem seram yang cukup popular. Namun, kelemahan dari sudut pelaksanaan menyebabkan potensinya tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Jika anda belum pernah menonton filem asal, besar kemungkinan anda masih boleh menikmati pengalaman menonton filem ini. Namun, jika anda sudah mengenali Gonjiam: Haunted Asylum, sebaiknya jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Skor: 5.5/10 (55%)

