Bisikan Dosa satu pertaruhan daripada Sutradara Faizul A Rashid menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Sherry Merlis dan Syazuwan Hassan.
Filem ini membawa kita ke satu perjalanan penceritaan yang segar dan berlainan dengan filem tempatan lain. Menerapkan elemen kesihatan mental, syirik, munafik dan pergolakan rumah tangga membuatkan penonton tertanya-tanya akan pengakhiran filem ini.
Menampilkan elemen seram, sudah pastinya penonton tidak berganjak dari tempat duduk untuk mengetahui kesudahan filem ini. Penceritaan bermula tentang Sarimah (Sara Ali) yang kematian anaknya telah berhijrah dan bekerja sebagai orang gaji kepada sebuah keluarga misteri.
Kisah hidup Sarimah sangat menyayat hati, bukan sahaja kehilangan anak, malah dipulau oleh bekas suami dan mentua. Kehadiran Sarimah ke rumah tersebut, sekurang-kurangnya dapat mengubati luka mendalam.
Sebaik Sarimah menjejak kaki ke rumah tersebut. Hatinya mula resah, seperti ada sesuatu yang pelik dalam rumah terbabit. Ayden (Farid Kamil), mengalu-alukan kedatangan Sarimah bersama isteri kedua Delina (Juliana Evans). Walau bagaimanapun, tidak disenangi oleh Puan Seri Khaleeda (Sherie Merlis), iaitu ibu Ayden.
Sejak bekerja di rumah tersebut, Sarimah sering dihantui bayangan isteri pertama Ayden iaitu Zara (Uqasha Senrose), seolah-olah berlaku satu kejadian menyayat hati di rumah tersebut.
Apakah kesudahan filem ini, anda harus menontonnya.
Sejujurnya, filem ini berjaya merubah perjalanan sebuah filem seram yang berlainan dengan seram tempatan lain.
Elemen misteri bakal menjadi tanda tanya sehingga penghabisan cerita. Setiap pelakon memainkan peranan utama dan saya berpuas hati dengan setiap watak bagi filem ini.
Kendatipun begitu, imej janaan komputer (CGI) yang keterlaluan memcacatkan perjalanan penceritaan seolah-olah kita berada di dunia lain. Sepatutnya Pengarah hanya menggunakan olahan solekan tanpa perlu menggunakan CGI bagi mengekalkan ‘keaslian’ bagi sebuah filem seram.
Secara keseluruhan, filem ini menarik untuk ditonton dengan penceritaan yang segar. Satu keunikan filem ini, ia membawakan sambungan Bisikan Dosa 2 pada bulan Mei ini menjadikan dua filem sama dalam tempoh kurang separuh tahun.
Jangan lupa menonton #BisikanDosa di pawagam bermula 9 Januari ini. Filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd pastinya akan membuatkan anda terhibur.