Kami berpeluang menyaksikan tayangan khas filem Weapons yang berlangsung di dewan BIG, GSC. Lebih menarik, filem ini ditayangkan tepat jam 2.17 pagi, menjadikannya tayangan khas pertama seumpamanya di Malaysia dan waktu yang sangat berkait rapat dengan isi cerita.

Weapons mengisahkan kehilangan misteri 17 orang murid sekolah, yang semuanya keluar dari rumah masing-masing tepat jam 2.17 pagi, tanpa disedari oleh ibu bapa mereka.
Lebih pelik, kesemua murid itu datang dari kelas yang sama, iaitu kelas cikgu Justine Gandy (dilakonkan oleh Julia Garner). Hanya seorang murid terselamat, iaitu Alex Lilly, manakala yang lain ghaib tanpa jejak.

Kejadian ini menimbulkan syak wasangka dalam kalangan ibu bapa, dan Justine mula dipersalahkan walaupun dia sendiri tidak tahu-menahu tentang apa yang berlaku.
Justine kemudian bertekad untuk menyiasat kejadian misteri itu dan cuba menemubual Alex. Namun, usahanya dihalang oleh Pengetua sekolah kerana Alex mengalami trauma teruk setelah disoal siasat oleh pelbagai agensi kerajaan.

Sementara itu, Archer Graff, bapa kepada salah seorang murid yang hilang, turut berusaha mencari jawapan. Misteri semakin menebal apabila Justine diserang oleh Pengetua sekolah yang bertindak ganas dan luar kawalan, seolah-olah dirasuk.

Lebih menakutkan, tumbukan demi tumbukan dari Archer langsung tidak memberi kesan kepada Pengetua yang dilihat seolah-olah dirasuk menambahkan rasa cemas dan bingung.
Apa yang membuat Weapons menarik ialah penceritaannya yang unik dan berbeza daripada filem seram Hollywood biasa. Filem ini tidak terlalu menakutkan dari segi ‘jumpscare’, tetapi lebih menekankan elemen ngeri yang mendalam.



Beberapa babak seperti darah memancut, kulit tersiat dan hentakan kepala menjadikan filem ini hanya sesuai untuk penonton 18 tahun ke atas.
Menariknya, terdapat unsur berbau Nusantara diselitkan dalam jalan cerita, seolah-olah membawa elemen Asia ke dalam filem Barat.

Gabungan ini memberi identiti yang segar dan mengejutkan.Kesemua pelakon membawa watak masing-masing dengan baik, termasuk kemunculan satu watak yang pasti membuat anda teruja.
Namun, untuk tidak merosakkan pengalaman menonton, kami tidak akan mendedahkan pengakhiran cerita ini. Yang pasti, Weapons akan membuat anda berfikir lama selepas keluar dari pawagam.

Terima kasih kepada pawagam GSC dan Warner Bros Malaysia atas jemputan ke tayangan eksklusif ini. Menonton filem Weapons pada jam 2.17 pagi sememangnya satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan.Jangan lepaskan peluang saksikan Weapons di pawagam berhampiran anda.
Skor : 7.8/10 (78%)