Pada 9 September lalu, media hiburan Xavier Naxa telah dijemput menyertai lawatan tapak ke set penggambaran filem terbaharu berjudul Terbang yang berlangsung di Sepang Bay 13 Off-Road Ranch by MSF, Sepang.

Suasana lokasi penggambaran penuh dengan debaran deruman enjin dan semangat krew produksi yang komited melahirkan sebuah naskhah aksi sukan yang dijangka akan mengangkat lagi martabat filem tempatan.
Sepanjang lawatan, kami turut berkesempatan menemu ramah barisan pelakon utama seperti Irfan Zaini, Zizan Razak dan Jack Tan, selain berbicara bersama pengarah prolifik Chiu Keng Guan yang sebelum ini pernah mengarahkan karya ikonik seperti The Journey dan OlaBola.
Irfan Zaini selaku teraju utama berkongsi pengalamannya sepanjang sebulan penggambaran berlangsung. Sebagai seorang yang begitu meminati dunia permotoran, dia melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang memegang watak Ajeet.
Malah, kerjasama erat bersama pasukan rali turut membantunya mendalami selok-belok dunia sukan permotoran dengan lebih mendalam.
Selain itu, Jack Tan rasa bersyukur kerana dapat berlakon di bawah arahan Chiu Keng Guan yang melahirkan filem-filem berkualiti seperti OlaBola dan The Journey.
Filem Terbang menampilkan kisah dramatik seorang bekas pelumba rali bernama Ajeet yang meninggalkan dunia perlumbaan selepas berdepan tragedi kemalangan tragis.

Kehidupannya tampak tenang bersama isteri tercinta, Lisa, namun takdir tidak membiarkannya terus menyepi. Lima tahun kemudian, Ajeet kembali ke trek dengan semangat baharu demi keluarganya, kali ini bergandingan dengan Kitt, seorang pemandu muda yang penuh ego dan panas baran.

Pertemuan mereka bukan sahaja mencetuskan percikan konflik, tetapi juga menguji kesabaran dan kepercayaan diri Ajeet yang masih dihantui trauma silam.


Dengan sokongan Lisa, kepimpinan Rahim dan kepakaran Imran, pasukan TERT Malaysia berusaha menawan pentas dunia, tetapi persoalan utamanya tetap berlegar, mampukah Ajeet menewaskan ketakutannya sekali lagi untuk mengharumkan nama negara?

Menariknya, Terbang diinspirasikan daripada kisah benar legenda rali negara, Karamjit Singh atau lebih dikenali sebagai Flying Sikh. Kemenangan bersejarahnya di FIA Asia Pacific Rally Championship 2001 bukan sekadar menjadi momen gemilang buat dirinya, malah turut mengangkat Malaysia ke mata dunia.
Menyedari nilai inspirasi yang begitu besar, penerbit eksekutif Raja Jastina Raja Arshad menegaskan bahawa kisah ini wajar diabadikan ke layar perak. Katanya, kerjasama erat Astro Shaw dengan Chiu Keng Guan telah membuahkan hasil dalam beberapa karya terdahulu yang menyentuh jiwa rakyat, dan kali ini mereka yakin Terbang akan mencatatkan satu lagi sejarah tersendiri.

Filem ini turut dihiasi dengan barisan pelakon yang hebat dan berkarisma, termasuk Namron, Diana Danielle, Aiman Hakim, Shweta Sekhon serta Mikael Noah. Disokong dengan sinematografi arahan Lim Teck Siang, muzik skor oleh Onn San, dan rekaan produksi yang teliti, Terbang dijangka akan menyajikan pengalaman menonton yang bukan sahaja mendebarkan dengan aksi rali penuh adrenalin, tetapi juga menyentuh emosi dengan elemen kekeluargaan dan perjuangan diri.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Woohoo Pictures, Terbang membawa keunikan tersendiri sebagai filem rali pertama Malaysia.

Dengan jalan cerita yang berteraskan keberanian, pengorbanan dan semangat juang, naskhah ini diyakini mampu memberi inspirasi kepada penonton sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa filem Malaysia berpotensi menembusi pentas global.
Saksikan Terbang yang dijadualkan menemui penonton pada Ogos 2026, sebuah karya yang pastinya akan menggegarkan pawagam dengan kisah luar biasa berjiwa Malaysia.