Badak ialah sebuah karya sarat emosi yang mengangkat kisah kasih sayang seorang bapa istimewa bernama Badak (Shaheizy Sam) bersama anak gadisnya, Mirah. Walaupun mereka tinggal di sebuah kampung yang semakin terhimpit oleh bangunan pencakar langit, kasih antara ayah dan anak ini tetap utuh, menjadi bukti bahawa keindahan keluarga tidak pernah pudar meskipun zaman berubah.
Badak seorang ayah pekak sejak lahir. Dunia tanpa bunyi itu menjadikan Mirah sebagai penghubung utama antara dirinya dengan orang lain. Segala bicara, pertanyaan, mahupun urusan harian, semuanya melalui Mirah. Dari situ penonton dapat melihat betapa eratnya kebergantungan seorang bapa kepada anaknya, dan betapa besar pengorbanan seorang anak dalam memahami kekurangan ayah yang amat dikasihinya.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Badak membuka gerai burger kecil. Mirah setia membantu, bukan sekadar menjadi tangan kanan ayahnya, malah menjadi nadi semangat untuk terus bertahan. Adegan mereka berdua di gerai itu terasa begitu tulus, memaparkan kasih yang tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata.
Namun, ketenangan itu mula tergugat apabila Mirah semakin mendekati minatnya terhadap muzik hip hop, suatu dunia yang langsung asing bagi Badak. Sejak kecil, Mirah sudah terbiasa dengan irama muzik, sama seperti datuknya, Abah (lakonan Wan Hanafi Su), yang juga berkongsi minat sama.

Mirah sebenarnya sangat rapat dengan ayahnya. Namun, apabila melihat Abah begitu mesra dengannya, terselit sedikit rasa cemburu di hati Badak. Ini kerana ketika zaman kecilnya dahulu, Abah sering meminggirkan Badak, tidak pernah memberi perhatian yang sama seperti yang kini dicurahkan kepada Mirah. Keakraban Mirah dengan Abah perlahan-lahan menjarakkan hubungannya dengan Badak, meskipun Mirah tidak pernah berniat begitu. Rasa terkilan itu menjadikan Badak lebih sensitif, apatah lagi Mirah ialah satu-satunya tempat dia bergantung dalam dunia yang serba sunyi.
Ketegangan semakin meruncing apabila Mirah cuba mempertahankan minatnya. Persoalannya, bagaimana mungkin seorang anak menjelaskan cintanya kepada muzik sedangkan ayahnya tidak pernah mendengar sebarang melodi sejak dilahirkan? Dari sinilah emosi penonton digoncang, antara kasih seorang anak yang ingin mengejar impian dan kasih seorang ayah yang tidak mahu kehilangan satu-satunya cahaya hidupnya.
Lakonan Shaheizy Sam wajar dipuji. Beliau berjaya menghidupkan watak seorang ayah yang pekak dengan penuh kejujuran, membuatkan penonton benar-benar percaya pada wataknya. Malah, beliau mengakui pengalaman membintangi Badak membuka matanya tentang betapa pentingnya kita mendengar, bukan sekadar bunyi, tetapi juga isi hati orang yang kita sayangi.

Dari sudut pengarahan, M. Raihan Halim sekali lagi membuktikan sentuhannya. Sinematografi yang kemas, tona warna yang serasi, serta peralihan babak yang rapi menjadikan Badak bukan sekadar sebuah kisah keluarga, tetapi sebuah karya seni visual yang memikat mata. Lagu-lagu hip hop yang diselitkan turut menceriakan perjalanan cerita, dengan lirik satira yang segar, menjadikan filem ini seimbang antara hiburan dan emosi.


Menariknya, keseluruhan penggambaran hanya mengambil masa 20 hari, tetapi pasca produksi berjalan selama lapan bulan. Hasilnya begitu mengagumkan, penceritaan terasa nyata, dekat dengan kehidupan masyarakat di Kampung Baru, seolah-olah ia benar-benar berlaku di depan mata kita.

Secara jujur, saya tidak meletakkan harapan tinggi sewaktu mula menonton. Namun, selepas kredit akhir bergulung, saya yakin Badak wajar diletakkan dalam senarai Top 5 filem tempatan terbaik. Jika anda menyukai konsep La Luna, pastinya anda juga akan jatuh cinta dengan Badak, karya daripada pengarah yang sama, tetapi dengan jiwa yang berbeza.
Lebih istimewa, usai tayangan, saya dan rakan-rakan berpeluang bertemu M. Raihan sendiri. Perbualan kami begitu menarik sehingga kami menjemput beliau hadir ke sesi podcast khas. Ia sesuatu yang jarang kami lakukan, melainkan untuk filem yang benar-benar berjaya menyentuh hati dan minda kami.

Badak mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 2 Oktober ini. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sebuah kisah yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik hati tentang makna mendengar, memahami, dan menghargai insan tersayang.
Tahniah kepada M. Raihan, Papahan Film, GSC Movies, serta seluruh tenaga produksi yang berjaya melahirkan sebuah karya hebat.
Skor: 8/10 (80%)