in ,

Dari Litar ke Layar: Hafizh & Daddy Hood Bawa Nafas Baharu Dalam Dunia ABKL

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2025 – Dalam usaha memperkukuh pengaruh dan kedudukan dalam industri permainan digital tempatan, Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) memperkenalkan dua figura tersohor iaitu pelumba negara Hafizh Syahrin dan personaliti serta streamer popular Daddy Hood sebagai ikon rasmi terbaharu ABKL.

Kerjasama strategik ini menandakan langkah rasmi kedua-dua tokoh tersebut menyertai dunia realiti maya Adik Beradik Roleplay (ABRP), sebuah platform permainan yang menyalurkan semangat kekeluargaan, kreativiti dan keakraban komuniti dalam suasana digital yang hidup.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir atau lebih dikenali sebagai MelRomeo, pemilihan Hafizh dan Daddy Hood bukan sekadar kerana nama besar mereka, tetapi kerana kedua-duanya mencerminkan nilai teras ABKL semangat kekeluargaan, daya juang serta keinginan membina komuniti yang positif.

“Mereka bukan hanya wajah hadapan, tetapi nadi yang berdenyut bersama komuniti kami. Kedua-duanya aktif bermain, berinteraksi dan memberi inspirasi kepada pemain baharu. ABKL bukan sekadar platform permainan, tetapi keluarga digital yang menyatukan,” ujar Muzammil.

Sebagai ikon rasmi, Hafizh dan Daddy Hood bakal memainkan peranan penting dalam memperluas capaian jenama ABKL di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mereka akan terus aktif sebagai streamer tetap dan pemain rasmi ABRP, menjadikan penglibatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi berakar pada keaslian dan komitmen sebenar.

Sejak pertengahan tahun 2024, kedua-dua ikon ini telah menunjukkan dedikasi luar biasa serta memahami budaya dan jiwa ABRP, sambil menyumbang idea bernas dalam aspek hiburan, perlumbaan dan gaya hidup moden.

Ketua Pegawai Teknologi ABKL, Mohd Hilmi Azli atau Keiroy, turut menambah bahawa perbincangan bersama Hafizh dan Daddy Hood membuka ruang kepada pelbagai idea segar, khususnya dalam menambah elemen automotif, perlumbaan dan hiburan agar dunia ABRP tampil lebih realistik serta menghiburkan.

Pandangan serta pengalaman mereka membantu memperkukuh identiti ABRP sebagai dunia roleplay tempatan yang mencerminkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia serta dekat di hati, luas di skrin.

ABKL percaya, penyertaan dua figura berpengaruh ini mampu membuka mata masyarakat bahawa dunia permainan digital bukan sekadar hiburan, tetapi juga wadah membina komuniti dan peluang baharu.

“Kami ingin membuktikan bahawa dunia permainan mampu menyatukan semua atlet, artis, streamer dan pemain biasa dalam satu keluarga digital yang positif. Itulah semangat ABKL yang kami perjuangkan,” jelas Mohd Hilmi.

Menjelang tahun 2025 hingga 2026, ABKL merancang pelbagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kedudukan jenama ini sebagai simbol komuniti digital paling berpengaruh di rantau ini.

Antara perancangan utama termasuk musim baharu ABRP dengan sistem permainan lebih dinamik, kolaborasi bersama personaliti tempatan dan jenama Malaysia, penganjuran ABKL Annual Dinner & Community Awards 2025, serta pembangunan ABKL Creator Hub, platform rasmi untuk streamer dan pencipta kandungan menjana pendapatan melalui ekosistem ABRP.

“Fokus kami adalah menjadikan ABKL sebagai lambang kebersamaan komuniti digital Malaysia. Dengan gabungan dunia hiburan, sukan dan teknologi, kami yakin Malaysia mampu muncul sebagai hab e-gaming yang membanggakan,” ujar Muzammil menutup bicara.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Marsya & Liza Hanim Dinobat Juara Talk To My Manager, Syarifah Shahirah Raih Gelaran Gempak Most Valuable Manager