Kuala Lumpur, 16 Oktober 2025 – Dengan lebih tiga dekad pengalaman memperjuangkan penjagaan paliatif berasaskan belas ihsan, Hospis Malaysia memperbaharui arah tuju organisasinya untuk muncul sebagai Pusat Kecemerlangan Penjagaan Paliatif pada Majlis Makan Malam Amal Voices for Hospices 2025 yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam tadi.

Bertemakan “A Promise of Dignity, United in Care” (Janji Bermaruah, Bersatu Dalam Penjagaan), acara amal kali ke-10 itu menghimpunkan pemimpin kesihatan, dermawan, keluarga dan pejuang masyarakat bagi meraikan legasi 34 tahun Hospis Malaysia, sambil menyeru komitmen nasional yang lebih kukuh untuk memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada penjagaan paliatif yang menyeluruh dan berperikemanusiaan.
Majlis berprestij itu turut menyaksikan pelancaran identiti baharu Hospis Malaysia yang mencerminkan aspirasi organisasi untuk memperkukuh perkhidmatan pesakit, latihan profesional dan advokasi awam, sekali gus menjadikan penjagaan paliatif lebih dekat di hati masyarakat.
Menurut Pengerusi Hospis Malaysia, YBhg. Dato’ Kathleen Chew, penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan rupa, tetapi lambang kematangan dan tanggungjawab baharu organisasi dalam menghadapi keperluan kesihatan negara yang semakin mendesak.
“Penjagaan paliatif bukan sekadar mengenai penghujung hayat, tetapi tentang maruah dalam menjalani kehidupan. Ketika negara menuju status masyarakat menua, Hospis Malaysia berikrar memastikan setiap rakyat berpeluang menerima penjagaan penuh belas ihsan, sama ada di rumah mahupun dalam komuniti,” jelas beliau.

Dato’ Kathleen menegaskan bahawa menjelang tahun 2030, dianggarkan suku juta rakyat Malaysia setiap tahun akan memerlukan penjagaan paliatif.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi panggilan kesedaran bahawa kita sedang berdepan krisis penjagaan paliatif. Penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung, buah pinggang dan paru-paru semakin meningkat. Kita perlu memperkukuh tenaga kerja kesihatan, memperluas penglibatan komuniti dan memastikan ubat penting mudah diakses. Penjagaan tidak boleh hanya tertumpu di hospital,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1991, Hospis Malaysia telah berkembang menjadi penyedia utama penjagaan paliatif komuniti negara dengan memberikan perkhidmatan berasaskan rumah kepada kira-kira 1,500 pesakit setiap tahun melalui pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada doktor, jururawat, ahli farmasi dan ahli terapi pemulihan, serta melaksanakan lebih 11,000 lawatan rumah setiap tahun.
Selaras dengan aspirasi Belanjawan 2026, Dato’ Kathleen memuji usaha kerajaan memperkukuh sistem kesihatan awam dan memperluas perkhidmatan berasaskan komuniti bagi mengurangkan kesesakan hospital.
“Dengan rujukan awal kepada penjagaan paliatif di peringkat komuniti, ramai pesakit sebenarnya boleh dirawat dengan selesa di rumah, sekali gus mengurangkan kemasukan ke hospital dan membolehkan keluarga menjaga insan tersayang dengan yakin serta penuh kasih,” ujar beliau.
Selain memberi rawatan, Hospis Malaysia turut memainkan peranan penting dalam pembangunan kapasiti tenaga kerja kesihatan negara. Setiap tahun, hampir 1,000 profesional kesihatan dilatih melalui bengkel, program penempatan klinikal dan platform pembelajaran dalam talian.


Pakar klinikal kanan organisasi ini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melatih doktor serta merangka dasar untuk memastikan generasi baharu pengamal perubatan mampu memenuhi keperluan penjagaan paliatif masa hadapan.

Tetamu Kehormat majlis, Y.A.M. Tengku Datin Paduka Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Hospis Malaysia dalam membentuk budaya penjagaan berasaskan empati.
“Penjagaan paliatif tidak harus dilihat sebagai pilihan terakhir, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan yang dijalani dengan maruah hingga ke penghujungnya. Kita hanya mempunyai satu kesempatan untuk memastikan insan tersayang dirawat dengan penuh kasih, selesa dan aman, dan Hospis Malaysia telah membuktikan bahawa hal itu bukan sekadar harapan tetapi kenyataan,” titah baginda.
Majlis turut menyentuh hati hadirin apabila Puan Norra Ismail, ibu kepada Allahyarhamah Tijani Batrisyia, berkongsi kisah peribadi yang menyentuh jiwa.
“Melihat anak saya melawan penyakit serius adalah pengalaman yang amat perit. Namun, ketenangan hadir apabila mengetahui dia dapat dirawat di rumah, dikelilingi kasih sayang dan maruah. Hospis Malaysia menjadikan hal itu nyata. Hari ini saya bukan hanya berbicara sebagai seorang ibu, tetapi sebagai penyokong agar tiada siapa perlu menempuh perjalanan ini sendirian,” katanya sebak.
Majlis Makan Malam Amal Voices for Hospices yang diadakan dua tahun sekali kini menjadi acara utama pengumpulan dana Hospis Malaysia.
Lebih daripada sekadar perayaan, ia merupakan malam penghargaan, solidariti dan harapan, tempat sahabat, keluarga, profesional kesihatan serta rakan strategik bersatu menyokong organisasi yang memperjuangkan akses sama rata terhadap penjagaan paliatif tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Segala sumbangan yang dikumpul akan digunakan bagi memperkukuh perkhidmatan pesakit, memperluas program latihan dan menggiatkan advokasi agar penjagaan paliatif terus menjadi tunjang penting dalam sistem kesihatan negara, demi memastikan setiap kehidupan dirai dengan maruah hingga ke akhir perjalanan.