Selepas sekian lama bergantung kepada rangkaian borong 5G, U Mobile akhirnya mengumumkan bahawa semua pelanggannya kini telah dipindahkan sepenuhnya ke rangkaian ULTRA5G milik mereka sendiri bermula 1 Julai 2026.
Apa yang lebih menarik, langkah ini bukan sekadar pertukaran rangkaian. Sebaliknya, ia memberikan kebebasan sepenuhnya kepada U Mobile untuk membangunkan teknologi, memperkenalkan inovasi baharu serta meningkatkan pengalaman pengguna tanpa lagi bergantung kepada pihak ketiga.
Sejak memulakan pembangunan rangkaian pada Julai 2025, U Mobile berjaya mencapai liputan melebihi 85% kawasan berpenduduk (CoPA) selain membangunkan lebih 190 lokasi liputan dalaman (IBC) di seluruh negara.
Jumlah itu pula dijangka meningkat kepada lebih 600 lokasi pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh pengalaman penggunaan 5G di dalam bangunan.
Namun begitu, pada pandangan saya, perkara yang paling penting bukanlah angka-angka tersebut. Sebaliknya, U Mobile kini mempunyai kawalan penuh terhadap rangkaiannya sendiri.
Ini membolehkan syarikat itu memperkenalkan pelbagai ciri eksklusif seperti keutamaan rangkaian ketika berlaku kesesakan, prestasi rangkaian yang lebih konsisten, ciri keselamatan terbina serta pelbagai inovasi baharu yang memanfaatkan teknologi 5G berdiri sendiri.
Dalam masa yang sama, U Mobile turut memperoleh pembiayaan sindiket berjumlah RM4.3 bilion bagi mempercepatkan peluasan dan penambahbaikan rangkaiannya.
Ini membuktikan bahawa syarikat tersebut masih komited untuk terus melabur dalam pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia.Persoalannya sekarang, adakah langkah ini mampu mengubah landskap persaingan industri telekomunikasi negara?
Pada pandangan saya, semuanya bergantung kepada pengalaman sebenar yang bakal dinikmati pengguna. Jika rangkaian ULTRA5G ini benar-benar menawarkan prestasi yang lebih pantas, stabil dan konsisten, tidak mustahil U Mobile bakal muncul sebagai antara pencabar utama dalam pasaran telekomunikasi Malaysia.

