Selepas peristiwa Spider-Man: No Way Home, Peter Parker terpaksa menerima hakikat yang paling menyakitkan dalam hidupnya. Semua insan yang pernah disayanginya tidak lagi mengenalinya. Tanpa keluarga, tanpa sahabat dan tanpa cinta, Peter memulakan lembaran baharu dalam sebuah kehidupan yang penuh kesunyian.

Dalam Spider-Man: Brand New Day, Peter sekali lagi berdepan ancaman baharu. Namun, seperti yang dapat dilihat menerusi treler, ancaman itu bukan sekadar datang daripada musuh yang perlu ditewaskan, malah turut menguji kekuatan jiwanya sebagai seorang manusia.

Pertemuannya dengan Profesor Bruce Banner pula menjadi titik penting apabila Peter mula mengalami sesuatu yang luar biasa. Apa sebenarnya yang berlaku, biarlah anda sendiri menyaksikannya di pawagam kerana saya tidak mahu merosakkan pengalaman menonton anda.
Secara peribadi, inilah filem Spider-Man yang paling menyentuh emosi daripada empat filem lakonan Tom Holland. Naskhah ini tidak terlalu bergantung kepada aksi semata-mata, sebaliknya memberi ruang yang lebih besar kepada pembangunan watak Peter Parker.

Kita dapat melihat bagaimana dia bergelut dengan kehilangan, kesunyian dan tanggungjawab yang terus dipikul walaupun tiada lagi insan yang mengingati dirinya.
Kendatipun begitu, jika dibandingkan dengan filem-filem terdahulu, saya merasakan aspek aksi agak berkurangan. Filem ini lebih perlahan rentaknya dan banyak memberi fokus kepada perjalanan emosi Peter.

Bagi penonton yang mengharapkan aksi tanpa henti, mungkin ada sedikit rasa kecewa. Namun, jika anda menghargai sebuah penceritaan yang matang dan sarat dengan perkembangan karakter, saya percaya anda akan menikmati filem ini sebagaimana saya menikmatinya.

Seperti kebiasaan filem Marvel Studios, ramai pasti menantikan kemunculan watak kameo. Ada beberapa kejutan yang boleh dijangka, manakala satu lagi mungkin benar-benar mengejutkan anda. Itu sahaja yang mampu saya katakan tanpa memasuki wilayah spoiler.
Dan satu pesanan penting, jangan pulang sebaik sahaja filem tamat. Nantikan satu babak pascakredit pada penghujung filem yang memberi petunjuk kepada sebuah lagi naskhah dalam Marvel Cinematic Universe.
Skor: 8/10
