in

Insidious: Out of the Further, Kengerian Yang Datang Dari Sebalik Pintu

Insidious: Out of the Further kembali membuka pintu kepada The Further, dunia ghaib yang menjadi nadi utama francais seram ini.

Kali ini, filem keenam dalam siri tersebut membawa penonton kepada kisah Gemma, seorang ibu muda yang membesarkan anak perempuannya di rumah tempat dia membesar.

Kehidupannya berubah apabila Gemma menyedari bahawa dirinya mempunyai keupayaan untuk memasuki The Further, sebuah alam antara dunia yang dihuni oleh roh dan entiti ghaib.

Lebih menggerunkan, keupayaan itu membolehkan sesuatu dari alam tersebut dibawa kembali ke dunia nyata. Untuk yang tertanya-tanya, Insidious: Out of the Further merupakan sekuel dalam francais Insidious, bukannya prekuel.

Walaupun menampilkan watak dan keluarga baharu sebagai fokus utama, filem ini masih mempunyai kaitan dengan mitologi yang telah dibina sejak filem-filem terdahulu. Kehadiran Elise Rainier juga menjadi antara penghubung penting yang memastikan identiti Insidious masih terasa.

Pada minit-minit awal, filem ini lebih banyak memberikan perhatian kepada pembangunan karakter. Penonton diberikan ruang untuk mengenali Gemma, kehidupannya serta hubungannya dengan anaknya sebelum cerita mula bergerak ke arah yang lebih gelap.

Rentaknya mungkin terasa sedikit perlahan, tetapi dalam masa yang sama sudah terdapat beberapa babak yang mendebarkan dan memberikan petunjuk bahawa sesuatu yang lebih besar sedang menanti.

Apabila memasuki bahagian pertengahan, bagi saya di sinilah Out of the Further benar-benar menjadi menarik. Filem mula melepaskan lebih banyak elemen seram dan memberikan pengalaman yang lebih agresif kepada penonton.

Lagi artikel di ifon.my  Spider-Man Terangi Langit Kuala Lumpur Dengan 600 Dron, Sambutan Luar Biasa Di TRX

Jump scare menjadi antara senjata utama dan terdapat beberapa kejutan yang berjaya membuatkan penonton terlompat daripada kerusi.

Menariknya, filem ini bukan sekadar bergantung kepada jump scare. Terdapat juga beberapa babak yang cukup mengganggu serta memualkan. Visual tertentu sengaja dimainkan dengan cara yang membuatkan penonton berasa geli dan tidak selesa.

Bagi saya, gabungan antara seram supernatural dengan elemen yang menjijikkan ini menjadikan bahagian pertengahan filem antara bahagian paling menarik untuk ditonton.

Walakin begitu, saya mempunyai sedikit pandangan terhadap babak penghujungnya. Selepas filem membina suasana seram dengan baik, babak akhir bagi saya agak keterlaluan sehingga membuatkan identiti filem mula terasa berubah. Pada satu ketika, saya mula merasakan seolah-olah sedang menonton sebuah filem adiwira, bukannya filem seram.

Saya faham apa yang cuba dilakukan oleh pembikin filem untuk meningkatkan skala konflik, tetapi bagi saya pendekatan tersebut sedikit mengubah keseimbangan cerita.

Insidious mempunyai kekuatan apabila ia bermain dengan ketakutan, suasana gelap, entiti ghaib dan psikologi manusia. Justeru, apabila kuasa supernatural dipersembahkan pada skala yang terlalu besar, elemen seramnya terasa sedikit berbeza daripada apa yang dibina sebelum itu.

Lagi artikel di ifon.my  Masters of the Universe : Santai, Menghiburkan dan Penuh Jiwa Pengembaraan

Namun begitu, Elise Rainier masih menjadi kekuatan serta DNA penting kepada francais ini. Watak yang dilakonkan oleh Lin Shaye mempunyai aura tersendiri dan setiap kemunculannya memberikan rasa bahawa kita masih berada dalam dunia Insidious.

Cuma bagaimana watak Elise diterjemahkan dalam filem terbaharu ini, itu sesuatu yang lebih baik anda saksikan sendiri tanpa saya mendedahkan terlalu banyak.

Jika dibandingkan dengan Insidious: The Red Door, secara peribadi saya lebih menggemari Out of the Further. Filem terbaharu ini terasa lebih berani dalam menyajikan elemen seram, lebih banyak jump scare dan mempunyai beberapa babak yang benar-benar membuatkan penonton tidak selesa.

Secara keseluruhannya, Insidious: Out of the Further bukanlah sebuah filem yang sempurna. Bahagian awalnya mengambil sedikit masa untuk membangunkan karakter, tetapi ia sudah mempunyai beberapa momen mendebarkan.

Bahagian pertengahan pula menjadi kemuncak pengalaman seram, manakala penghujungnya memberikan pendekatan yang lebih besar dan berani.

Namun, jika anda mencari sebuah filem seram yang sarat dengan jump scare, elemen memualkan dan masih mengekalkan DNA Insidious, filem ini masih mampu memberikan pengalaman yang menghiburkan.

Bagi saya, ia lebih menarik berbanding The Red Door dan cukup untuk memberikan pengalaman seram yang menghiburkan kepada peminat francais ini.

Skor: 7.5/10

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Tikus Merupakan Sebuah Filem Misteri Yang Tidak Ortodoks

vivo V80 Lite 5G Bakal Tiba di Malaysia dengan Bateri 10,000mAh