Saya ingin berkongsi pengalaman tentang rakan saya di mana Apple Watch telah menyelamatkan nyawanya tiga minggu yang lepas. Rakan saya baru sahaja membeli Apple Watch Siri 3 Edisi Nike tahun ini.
ia telah memilih saiz 38mm kerana saiz badan dan pergelangan tangan kecil dan sesuai dengan fizikalnya. Harga jualan adalah RM849.00 dan sejak daripada itu dia dan saya sering bersaing dalam mencapai sasaran bagi setiap aktiviti.
Bagusnya Apple Watch, kita boleh bertanding dengan rakan-rakan yang mempunyai Apple Watch. Pertandingan ini mengambil masa 7 hari dan pemarkahan adalah secara harian. Anda hanya perlu melengkapkan pusingan bagi senaman, pergerakan dan berdiri.
Gambar di bawah adalah skor yang diperoleh dari rakan saya. Satu notifikasi akan dihantar kepada kita menjelaskan rakan kita telah mencapai sasaran harian. Ini sedikit sebanyak akan menaikkan semangat kita untuk terus bersenam.
Berbalik kepada topik asal, saya dan rakan telah keluar ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi. Pada mulanya tiada apa-apa yang berlaku. Namun beberapa jam kemudian rakan saya mengadu badannya kurang selesa dan lemah.
Disebabkan hal tersebut kami memutuskan untuk pulang ke rumah. Semasa perjalanan pulang, dia menerima satu notifikasi daripada Apple Watch yang menjelaskan bahawa kadar denyutan jantung sedikit tinggi.
Disebabkan hal tersebut, saya telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Apabila masuk ke unit kecemasan dan trauma. Pasukan perubatan mula merawatnya dan dia didapati mempunyai masalah dalam pernafasan dan terus dimasukkan ke dalam wad.
Semasa di wad pelbagai ujian telah dijalankan memandangkan rakan saya mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit jantung. Ujian Covid-19 juga telah diambil dan alhamdulillah negatif.
Sekarang dia telah keluar dari wad, namun masih menerima rawatan susulan bagi mengenal pasti punca penyakitnya. Apa yang boleh saya kongsi dari penceritaan ini adalah, Apple Watch bukan sekadar sebuah jam pintar.
Malah ia membantu menyelamatkan nyawa kita. Ramai dalam kalangan kita merasakan sihat atas faktor usia masih muda. Dari segi zahir memang kita nampak sihat, namun kita tidak ketahui batinnya kecuali kita telah mengalami masalah kesihatan kelak.
Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Bagi saya penggunaan jam pintar sangat membantu dalam memantau kesihatan kita. Saya bukanlah mahu anda semua membeli Apple Watch. Banyak jam pintar yang mempunyai fungsi yang sama seperti Apple Watch.
Jagalah diri kita sebaiknya, kerana hanya kita sahaja yang mengetahui tentang kita.