Astro Shaw kembali menggegarkan layar perak dengan sebuah karya terbaharu berjudul Malam Terlarang, sebuah filem bergenre misteri, thriller dan seram yang dijangka menjadi bualan ramai.

Treler acah (teaser trailer) rasmi telah dilancarkan, memberikan bayangan awal tentang kisah penuh debaran yang bakal menanti penonton apabila filem ini mula ditayangkan pada 30 Oktober 2025 di pawagam seluruh negara.
Segala debaran cerita ini bermula dengan perjalanan hidup Mawar, seorang gadis berusia 18 tahun yang menyimpan impian besar untuk bergelar wartawan. Namun, cita-citanya terpaksa diketepikan demi menjaga ibunya, Sarimah, dengan bantuan kakak tirinya, Safar.

Kehidupan mereka yang sederhana tiba-tiba digoncang oleh kematian mengejut dalam keluarga, sekali gus membuka pintu kepada gangguan aneh yang mula menghantui Mawar. Sejak itu, dia didatangi oleh lembaga misteri yang tidak diketahui asal usulnya, memaksanya menyelongkar rahsia gelap di sebalik tragedi tersebut.
Dalam masa yang sama, bapanya, Omar, lebih sibuk dengan dunia politik apabila berusaha menggulingkan ketua partinya, Haji Wahid. Sementara Mawar semakin mendalami penyiasatan, kejadian paranormal yang dialaminya kian mengerikan, namun keluarganya menolak dan menganggap semua itu hanya bayangan semata-mata.

Keadaan ini membuatkan Mawar terperangkap antara mencari kebenaran atau menjadi korban kepada sesuatu yang lebih gelap daripada sangkaannya.


Filem ini menampilkan gandingan pelakon hebat tanah air, antaranya Shasha Abedul sebagai Mawar, Zul Ariffin sebagai Omar, Sofea Jane sebagai Sarimah, Sabri Yunus sebagai Mokhtar, Normah Damanhuri sebagai Mak Noni, Hasnul Rahmat sebagai Haji Wahid serta Aila Azizul sebagai Safar.
Di sebalik tabir, naskhah ini diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu) dengan skrip hasil tulisan Hazo Mahayuddin, Nazifdin Nasrudin dan Haris M. Nor, disokong oleh muzik skor daripada Monoloque serta kesan visual yang digarap oleh BStudios.
Dengan durasi tayangan selama 110 minit dan penggambaran di lokasi seperti Pantai Morib dan Kuala Selangor, Malam Terlarang menjanjikan sebuah pengalaman menonton yang sarat dengan misteri, debaran serta kejutan yang tidak terjangka.
Adakah Mawar akan berjaya membongkar rahsia yang tersembunyi, atau dia sendiri bakal menjadi korban kepada malam yang penuh larangan ini? Nantikan jawapannya di pawagam bermula 30 Oktober ini.