in ,

Apple Dijangka Ulangi Strategi iPhone X Untuk iPhone Ultra

Seperti diketahui, kemunculan iPhone Ultra (iPhone boleh lipat) semakin hampir menjadi kenyataan. Menurut penganalisis terkenal Ming-Chi Kuo, Apple dijangka mengulangi strategi yang pernah digunakan ketika pelancaran iPhone X pada tahun 2017.

Ketika itu, Apple memperkenalkan iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone X serentak dalam satu acara. Namun, iPhone X hanya dibuka untuk pra-tempahan kira-kira enam minggu kemudian berikutan kekangan pengeluaran. Kini, situasi yang sama dikatakan bakal berulang apabila iPhone Ultra diperkenalkan bersama siri iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max, tetapi tempahan awal mungkin hanya bermula sekitar suku keempat 2026.

Kendatipun begitu, perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebelum ini, beberapa laporan turut mendakwa Apple masih berdepan cabaran menghasilkan peranti boleh lipat dalam kuantiti besar, biarpun isu engsel dikatakan telah banyak diselesaikan. Keadaan itu menyebabkan bekalan awal dijangka agak terhad.

Lagi artikel di ifon.my  Counterpoint: iPhone Lipat (iPhone Ultra) Dijangka Ubah Landskap Telefon Pintar Boleh Lipat

Menurut Ming-Chi Kuo, permintaan terhadap iPhone Ultra berpotensi menjadi pawaka yang menyemarakkan keterujaan pengguna.

Beliau percaya model tersebut mampu habis dijual sejurus pra-tempahan dibuka, malah tempoh penghantaran boleh mencecah antara empat hingga enam minggu atau lebih lama sekiranya permintaan melebihi jangkaan.

Apple dianggarkan hanya mampu menghantar sekitar 7 hingga 8 juta unit iPhone Ultra sepanjang 2026, berbanding 20 hingga 22 juta unit untuk gabungan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max.

Hatta, strategi ini sebenarnya memberikan beberapa kelebihan kepada Apple. Selain memastikan pelancaran tahunan iPhone terus menjadi tumpuan, syarikat itu mempunyai wewenang untuk mengurus jadual pengeluaran secara lebih tersusun tanpa perlu menangguhkan acara pelancarannya.

Pada masa yang sama, bekalan yang terhad mampu mewujudkan persepsi eksklusif terhadap model premium tersebut, sama seperti yang pernah berlaku kepada iPhone X hampir sedekad lalu.

Lagi artikel di ifon.my  Apple Optimis Sambutan Positif Bagi iPhone Ultra

Walakin begitu, segala keputusan berhubung tarikh pelancaran, jumlah pengeluaran dan tempahan awal kekal menjadi prerogatif Apple.

Setakat ini, syarikat itu masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai nama, harga mahupun tarikh pra-tempahan iPhone Ultra.

Justeru, semua laporan ini wajar dianggap sebagai spekulasi sehingga Apple membuat pengumuman rasmi sekitar September nanti.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

U Mobile Tubuh Panel Penasihat, Perkukuh Inovasi AI dan 5G Untuk Sektor Perusahaan