Saya menjangkakan kemunculan iPhone Lipat (iPhone Ultra) bukan sekadar memberi kesan kepada Apple, malah bakal mengubah semula landskap industri telefon pintar boleh lipat yang sejak kebelakangan ini dilihat semakin perlahan.
Laporan terbaharu daripada Counterpoint Research menunjukkan kemasukan Apple ke pasaran ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan semula penghantaran panel paparan telefon pintar boleh lipat pada separuh kedua tahun 2026.
Menurut laporan tersebut, penghantaran panel paparan telefon pintar boleh lipat dijangka meningkat sekitar 24% sepanjang tahun 2026, manakala hasil industri pula berpotensi melonjak sehingga 48% berbanding tahun sebelumnya.

Keadaan ini berlaku selepas suku pertama tahun 2026 mencatatkan penurunan sebanyak 7% berikutan kawalan inventori oleh pengeluar serta pelancaran model baharu yang lebih perlahan.
Kendatipun begitu, Apple bukanlah satu-satunya faktor yang akan memacu pertumbuhan tersebut. Counterpoint menjelaskan bahawa telefon pintar boleh lipat jenis lipatan ke dalam kini semakin mendapat sambutan kerana menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih produktif, paparan yang lebih luas serta margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding model lipatan menegak.
Apple dijangka mempercepatkan lagi penerimaan pengguna terhadap kategori peranti ini menerusi iPhone Lipat (iPhone Ultra).
Menariknya, laporan sama turut mendedahkan bahawa Samsung Display dijangka menjadi pembekal tunggal panel paparan bagi iPhone Lipat (iPhone Ultra) generasi pertama.
Perkara ini sekali gus memberikan kelebihan besar kepada Samsung Display yang sebelum ini berjaya meningkatkan pegangan pasarannya kepada 22% pada suku pertama tahun 2026.
Hatta, perkembangan ini menunjukkan bahawa walaupun Apple sering memasuki sesuatu segmen pasaran lebih lewat berbanding pesaingnya, syarikat itu masih mempunyai pengaruh yang besar terhadap keseluruhan rantaian bekalan serta hala tuju industri.
Jika iPhone Lipat (iPhone Ultra) benar-benar dilancarkan seperti yang dijangkakan, ia bukan sekadar menambah satu lagi produk dalam portfolio Apple, sebaliknya berpotensi menghidupkan semula pasaran telefon pintar boleh lipat yang sebelum ini menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan yang semakin perlahan.

