Pada awalnya, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap Forgotten Island. Ketika menonton treler pertamanya, filem animasi ini kelihatan seperti sebuah cerita yang biasa bagi saya. Jadi, saya tidak menjangkakan sesuatu yang terlalu istimewa.
Namun, sebaik sahaja menonton filem ini, tanggapan saya berubah. Forgotten Island ternyata sebuah filem animasi yang sangat menghiburkan dengan penceritaan yang menarik.
Saya kurang gemar apabila sesebuah filem menggunakan penceritaan yang sama atau terlalu mudah dijangka.

Walaupun Forgotten Island turut mengangkat nilai persahabatan, konflik yang dibawa serta babak-babak komedi menjadikan filem ini lebih menarik untuk ditonton. Ada beberapa babak yang benar-benar membuatkan saya terhibur, terutama menerusi telatah watak-watak tambahan yang muncul sepanjang cerita.

Dari segi kualiti animasi pula, bagi saya ia sangat menarik. Jika anda pernah menonton KPop Demon Hunters, konsep animasi Forgotten Island mempunyai pendekatan yang lebih kurang sama dari segi gaya visual yang moden, berwarna-warni dan bertenaga.
Namun, kelebihan utama filem ini bagi saya tetap terletak pada jalan ceritanya. Forgotten Island membawa penonton mengenali kisah lagenda masyarakat Filipina, termasuk tanggapan mereka terhadap makhluk ghaib seperti penanggal.
Elemen ini memberikan identiti tersendiri kepada filem dan menjadikannya lebih daripada sekadar sebuah filem animasi komedi.

Dengan durasi 1 jam 49 minit, saya langsung tidak terasa filem ini terlalu panjang atau membosankan. Saya benar-benar menikmati setiap babak, termasuk konflik, komedi serta telatah watak-wataknya.
Secara keseluruhannya, Forgotten Island merupakan sebuah filem animasi yang pada awalnya tidak saya jangkakan akan memberikan pengalaman sebegini, tetapi akhirnya berjaya membuatkan saya terhibur.

Penceritaan yang menarik, elemen komedi, animasi yang baik serta kisah lagenda Filipina menjadikan filem ini sesuatu yang berbeza.
Jika anda peminat filem animasi, gemar menonton genre komedi atau ingin mengetahui kisah lagenda daripada masyarakat Filipina, saya galakkan anda menonton filem ini. Forgotten Island sudah ditayangkan di pawagam bermula hari ini dan saya yakin anda akan menikmatinya.
Skor Xavier Naxa: 8/10
