Tahun ini kita bakal menyaksikan beberapa produk Mac bakal diperkasa dengan M2. Mac mini, MacBook Pro 13-inci, MacBook Air serta iMac 24-inci besar kemungkinan akan menggunapakai cip tersebut. Cuma timbul pertanyaan adakah M2 mampu menggugat cip M1 Pro/Max yang saya anggap berada dalam kategori andalan.
Ini merupakan pandangan peribadi saya berhubung perkara ini dengan mengambil kira beberapa fakta sebagai rujukan. Umum mengetahui, kali pertama Apple membezakan cip pemprosesan sewaktu pelancaran iPad 3 yang menggunakan A5X. Berbeza dengan iPad sebelum ini yang hanya menggunakan cip siri-A sahaja.
Kali terakhir Apple menggunakan cip siri-AX pada iPad Pro (2018) dan kemudian diganti dengan cip siri-AZ pada iPad Pro (2020). Namun sifat kedua-dua cip ini adalah sama iaitu peningkatan teras CPU dan GPU berbanding cip siri-A.
Sejauh mana A12X berbanding A12 merujuk kepada pangkalan data Geekbench, A12X mempunyai skor 1,116 berbanding 1,112 bagi A12. Namun jika dibandingkan dengan teras pelbagai, A12X mencatat skor tertinggi hingga melangkaui A15 Bionic yang ada pada iPhone 13.
Data yang dipaparkan di bawah jelas menunjukkan bahawa cip siri-AX mempunyai prestasi yang tinggi bagi teras pelbagai. Bagaimana pula dengan M1 dengan M1 Pro?
M1 pada MacBook Pro 13-inci memperoleh skor 1,706 bagi teras tunggal manakala 1,732 bagi MacBook Pro 14-inci yang diperkasakan dengan M1 Pro. Kedua-dua cip ini mempunyai prestasi 3.2Ghz dengan lapan teras. Bagi teras pelbagai pula, seperti dijangka M1 Pro memperoleh skor tertinggi iaitu 9,511 berbanding 7,391 bagi M1. Melalui data-data ini kita boleh membuat konklusi bahawa M2 tidak mampu untuk menandingi M1 Pro/Max.
Terdapat kemungkinan prestasi M2 setara dengan M1 Pro bagi teras tunggal. Namun saya menjangkakan prestasi M2 hanya meningkat sekitar 20% berbanding cip M1. Kendatipun begitu, M2 mustahil untuk mengatasi prestasi M1 Pro/Max jika dibandingkan dengan teras pelbagai.
Bulan Mac nanti besar kemungkinan Apple bakal melancarkan beberapa produk Mac yang akan saya ulas pada masa akan datang. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak ramalan saya bagi cip M2. Saya percaya terdapat segelintir pengguna berfikir bahawa M2 lebih pantas.
Mereka melihat faktor nombor “2” yang lebih terkehadapan berbanding “1”. Tidak keberatan jika saya kataka cip siri Pro dan Max merupakan siri “X” yang ada pada iPad sebelum ini.
SEKADAR PANDANGAN