in

Storan iPhone 128GB Masih Relevan?

Marcapada, pemilihan storan iPhone penting untuk menjamin kelangsungan. Tidak semua memerlukan storan besar, namun ada terpaksa membeli iPhone baharu gara-gara storan telah penuhStoran penuh dan tidak diurus dengan baik akan beri impak negatif kepada iOS.

iPhone kali pertama dilancarkan pada tahun 2007, pada waktu itu Apple memperkenalkan storan asas cuma 4GB. Kemudian meningkat kepada 8GB, 16GB, 32GB, 64GB dan terkini 128GB dan 256GB. Evolusi ini mencerminkan peningkatan storan seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Terdapat segelintir pengguna menganggap iCloud menaikkan storan dalaman iPhone. Walhal, iCloud bertindak sebagai sandaran (backup) data yang ada di dalam iPhone. Melanggan iCloud dengan pelan 200GB tidak bermaksud menambahkan storan dalaman iPhone sebanyak 200GB.

Contohnya, Aminah memiliki iPhone 12 dengan storan dalaman 64GB. Disebabkan storan semakin kecil, dia melanggan iCloud 200GB dan berpandangan saiz storan iPhone meningkatkan kepada 264GB. Falsafah ini salah, iCloud cuma menyimpan data ke storan awan semata-mata.

Kita harus sedar, perkembangan teknologi semakin meluas bukan hanya iOS malah aplikasi ketiga. Kemas kini iOS boleh mencecah 6GB dan aplikasi ketiga pada awalnya cuma 200MB boleh meningkat kepada 2GB disebabkan oleh kuki, cache dan lain-lain.

Langkah mudah untuk meningkatkan storan iPhone adalah nyah-pasang aplikasi dan memasangnya semula.

1. Seting – Umum – Storan iPhone

2. Pilih aplikasi yang menggunakan storan tinggi (contohnya TikTok).

Saiz asal TikTok cuma 331.3MB sahaja, tapi disebabkan oleh Dokumen & Data telah meningkat kepada 2.3GB. Cara mudah untuk tingkatkan storan, hanya nyah-pasang TikTok dan pasangkan kembali.

Setelah selesai memasang aplikasi TikTok, kita boleh lihat perbezaan ketara jumlah storan digunakan. Lakukan untuk semua aplikasi yang menggunakan storan tinggi seperti permainan mudah alih, Facebook, X dan lain-lain. Nescaya saiz storan iPhone akan meningkat.

Lagi artikel di ifon.my  iPhone 12 Laris Di Malaysia

Bila berbicara tentang storan iPhone. Masih ramai menggunakan storan 64GB dan 128GB. Tiada salahnya menggunakan storan asas, semua bergantung kepada penggunaan seseorang individu itu sendiri.

Kendatipun begitu, terdapat segelintir tersilap membuat keputusan. Mereka memilih storan asas atas faktor harga yang rendah. Natijahnya, storan semakin mengecil dan terdapat segelintir pengguna hadapi masalah iPhone gagal berfungsi dengan baik disebabkan storan penuh.

Tak dinafikan terdapat kedai yang menawarkan naik taraf storan iPhone. Saya sanggah tindakan tersebut dan tidak sepatutnya kita mengubah tabii asal iPhone. Tindakan tersebut akan beri kesan negatif untuk jangka masa panjang.

Persoalannya, masih relevan storan 128GB?

128GB merupakan storan asas bagi iPhone yang dijual pada ketika ini kecuali iPhone SE 3 yang menggunakan kapasiti 64GB manakala iPhone 15 Pro Max pula sudah ditingkatkan kepada 256GB.

Perkembangan iOS, aplikasi ketiga serta spesifikasi terutama foto dan kamera sedikit sebanyak memerlukan storan dalaman yang besar. Berdasarkan undian yang dibuat di akaun X, seramai 20,302 telah membuat undian dan majoriti berpendapat 128GB sudah tidak releven.

Saya bersetuju dengan undian tersebut, namun tidak menafikan masih ada dalam kalangan pengguna menganggap 128GB sudah mencukupi. Namun perlu diingatkan, iPhone 14 Pro dan ke atas sudah menggunakan lensa kamera 48 megapiksel yang menghasilkan saiz gambar yang besar.

Begitu juga kualiti rakaman video yang mencecah 4K yang bagi saya terlalu besar untuk disimpan dalam storan kecil. Tak dinafikan bagi iPhone 15 Pro, sokongan USB-C membantu dalam menyimpan melalui cakera keras luaran (external hard disk).

Lagi artikel di ifon.my  Ming-Chin Kuo: Permintaan iPhone XR Lemah

Walakin begitu, masih banyak faktor lain yang memerlukan perhatian. iOS semakin berkembang, begitu juga aplikasi ketiga. Kekerapan kemas kini memungkinkan storan dalaman semakin mengecil.

Tiada masalah jika seseorang itu sering peka dalam mengurus storan. Tapi tak semua begitu rajin untuk lakukannya. Apple sepatutnya menjadikan 256GB sebagai storan asas. Tapi apakan daya, 128GB masih menjadi pilihan.

Walaupun iPhone 15 Pro Max sudah menjadi penanda aras kepada storan asas baharu. Jika dilihat dari segi harga, tiada bezanya memandangkan tanda harga tersebut sudah dikenakan pada storan 256GB. Intihanya, tiada salahnya untuk membeli iPhone dengan storan dalaman 128GB.

Embuh-embuhan begitu, dengan perkembangan iOS, aplikasi ketiga serta perkakasan memungkinkan peningkatan penggunaan storan dalaman. iCloud bukan penyelesaian kepada masalah storan penuh. Tugas kita sebagai pengguna untuk memilih storan dalaman yang bersesuaian.

iOS 18 bakal menyokong kecerdasan buatan generatif. Permainan mudah alih juga semakin maju. Semua memerlukan saiz storan dalaman yang besar dan sekurang-kurangnya 256GB paling bersesuaian.

Tahun 2007 storan dalaman 4GB sudah cukup. Selepas sedekad, ia berkembang kepada 64GB dan sekarang 128GB dan 256GB. Semuanya mengikut arus pemodenan semasa. Penjelasan ini bukanlah sesuatu yang enigma.

Tiada halangan untuk sesiapa membeli iPhone dengan storan 128GB, mahupun 64GB. Jangan pula pilih disebabkan hanya mampu setakat itu sahaja, ibarat biar papa asal bergaya.

Majazi ini bukan satu sindiran, tapi mengingatkan kita bahawa pemilihan storan penting dalam setiap kemenjadian kehidupan harian.

SEKADAR PANDANGAN

Gambar utama, kredit : Mobile Trans

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

iOS 17.4.1 Sedia Untuk Dikemas kini

Ramalan Apple Watch X