in ,

Astro Shaw dan Royal Selangor Bergabung Tenaga Hasilkan Koleksi Eksklusif Keluang Man

Astro Shaw dengan bangganya mempersembahkan satu inisiatif istimewa bersama jenama piuter tempatan tersohor, Royal Selangor, melalui penghasilan koleksi edisi terhad yang diinspirasikan daripada filem adiwira ikonik Malaysia Keluang Man.

Koleksi eksklusif ini merangkumi patung kecil (figurine) dan lapel yang direka dengan penuh teliti oleh tukang piuter mahir Royal Selangor, sekaligus menandakan kerjasama sulung antara dua nama besar dalam bidang masing-masing di mana Astro Shaw sebagai peneraju industri perfileman tanah air dan Royal Selangor yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan seni kraf piuter bertaraf dunia.

Koleksi istimewa ini menampilkan Keluang Man dalam bentuk patung kecil dan pin eksklusif yang dihasilkan daripada piuter berkualiti tinggi mencerminkan identiti unggul Royal Selangor.

Lagi artikel di ifon.my  Video Siar : One Cent Thief 2

Patungnya dirakam dalam gerakan penuh gaya dengan posisi bersilat ikonik, diinspirasikan daripada siri animasi kegemaran ramai. Dihasilkan dengan kemasan satin yang elegan, patung ini hanya dikeluarkan sebanyak 30 unit sahaja, lengkap dengan nombor siri individu dan ruang khas untuk ukiran peribadi pada tapaknya.

Bagi peminat aksesori eksklusif, lapel Keluang Man menampilkan lambang ikonik sang adiwira sebagai penghormatan kepada wira rakyat yang membanteras jenayah dalam senyap malam.

Pin ini ditawarkan dalam dua versi iaitu kemasan satin dan edisi lebih premium bersalut emas 24K dengan jumlah pengeluaran terhad hanya 100 unit.

Koleksi ini bakal dilancarkan secara rasmi dan mula dijual di peruncit terpilih Royal Selangor bermula Mei 2025.

Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad:“Kolaborasi ini mencerminkan strategi kami untuk memperluas nilai harta intelek (IP) filem tempatan serta memperkukuh jenama Keluang Man menerusi kerjasama dengan jenama premium seperti Royal Selangor. Ia bukan sekadar koleksi memorabilia, tetapi satu langkah penting dalam memperkasa ekosistem industri kreatif dan mengetengahkan warisan seni negara kepada khalayak lebih luas.

Lagi artikel di ifon.my  Qodrat 2: Lebih Aksi, Lebih Misteri!

Filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi.

Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Perjuangan Epik Qodrat 2 Bakal Menghantui Layar Perak Bermula 17 April Menerusi Kerjasama Strategik Bersama Astro Shaw.

Qodrat 2: Lebih Aksi, Lebih Misteri!