Selepas mencipta fenomena di Indonesia, kini perjuangan epik Qodrat 2 bakal menghantui layar perak Malaysia bermula 17 April ini menerusi kerjasama strategik bersama Astro Shaw.
Filem Qodrat 2 telah mencatat kejayaan luar biasa di tanah kelahirannya, menjadi salah satu karya seram terbesar yang pernah diterbitkan di Indonesia. Ia menyatukan tenaga beberapa syarikat produksi berpengaruh seperti MAGMA Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Astro Shaw, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio, dan Beacon Films sekali gus menjadikan filem ini satu naskhah yang cukup gah dari segi skala dan mutu produksi.

Ditayangkan secara rasmi pada 31 Mac lalu bersempena Hari Lebaran, Qodrat 2 mencatat lebih 72,000 penonton pada hari pertama tayangan, di lebih 400 pawagam seluruh Indonesia.
Sehingga kini, filem ini telah berjaya meraih lebih 2 juta penonton dan merupakan satu pencapaian membanggakan untuk sebuah filem genre seram.

Dari segi penceritaan, Qodrat 2 tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan berani. Ia bukan sekadar filem seram biasa, sebaliknya menggabungkan elemen aksi, thriller, supernatural, dan keagamaan, sekali gus menjadikannya unik dan berbeza daripada kebanyakan filem seram klise yang lain.

Tanpa bergantung kepada babak ‘jumpscare’ yang keterlaluan, filem ini memikat dengan koreografi pertarungan yang mendebarkan, penggunaan kesan khas yang menghidupkan kemunculan iblis Asu’ala dengan cukup menyeramkan, serta elemen emosi menyayat hati melalui lakonan mantap Vino G. Bastian sebagai Ustaz Qodrat, yang kali ini digandingkan dengan watak baru, Azizah lakonan memukau Acha Septriasa.

Jika Qodrat pertama menelusuri kesedihan dan ujian iman seorang ayah yang gagal menyelamatkan anaknya, Qodrat 2 membuka lembaran baharu dari perspektif berbeza, kali ini, dari sisi isterinya, Azizah.


Dalam perjuangan yang selari di dua dimensi waktu, penonton akan dibawa menyelami derita batin Azizah yang nekad menyerahkan keimanannya kepada iblis demi menyelamatkan anak mereka.
Selepas keluar dari rumah sakit jiwa, Azizah mula bekerja di sebuah kilang fabrik misteri, namun di sebalik itu, Qodrat tekad untuk menyelamatkan isterinya walau terpaksa meredah perangkap jahat Asu’ala.Qodrat 2 turut menandakan kemunculan semula Acha Septriasa di layar perak selepas sekian lama, dan lebih istimewa, menyatukan kembali Acha dan Vino setelah 17 tahun sejak gandingan romantik mereka yang cukup diingati dahulu.
Filem arahan Charles Gozali ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Donny Alamsyah, Della Dartyan, Hanna Saraswati, Septian Dwi Cahyo dan ramai lagi.

Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Filem Qodrat 2 membawa aras baharu dalam penghasilan filem seram, di mana penceritaan yang dipersembahkan tidak bergantung semata-mata pada elemen seram dan kejutan, tetapi diseimbangkan dengan adegan aksi ala superhero, emosi dan unsur agama, seterusnya memberi ruang kepada watak dan tema filem untuk diketengahkan. Formula ini telah diterima baik oleh penggemar filem di Indonesia, dan ia dibuktikan dengan pencapaian jumlah box office di sana. Kami mengharapkan reaksi positif itu turut memberi keterujaan serta pengalaman berbeza buat penonton di Malaysia. Dalam pada itu, kami berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan MAGMA Entertainment dalam meneruskan legasi Qodrat. Ini juga mencerminkan komitmen Astro Shaw sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kolaborasi rentas negara dan menyokong penghasilan kandungan serantau yang berkualiti tinggi. Usaha ini juga selari dengan misi Astro Shaw untuk terus meneroka peluang kerjasama dan memperluas pilihan kandungan yang relevan serta menghiburkan kepada penonton Malaysia.”
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Qodrat 2 yang ditayangkan bermula hari ini di seluruh pawagam berhampiran dengan anda.