in ,

Nothing Perluas Kerjasama Strategik Bersama KEF, Pakar Akustik Bertaraf Dunia

Nothing mengumumkan kerjasama strategik bersama KEF dengan membuka lembaran baharu dalam inovasi bunyi serta memperkenalkan pengalaman audio premium kepada pengguna dengan lebih luas.

Menggabungkan kesenian tukangan halus, kejuruteraan unggul dan rekaan berani, kerjasama ini menyatukan dua jenama ikonik dari United Kingdom.

KEF yang berpengalaman lebih enam dekad dalam audio berdefinisi tinggi bakal memainkan peranan penting dalam menyokong pengembangan Nothing ke dalam kategori audio baharu.

“Di KEF, kami percaya bahawa bunyi yang hebat mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan menyatukan manusia,” ujar Grace Lo, Presiden & Ketua Pemasaran Global KEF. “Melalui kerjasama ini, kami berpeluang membawa warisan akustik kami ke dalam konteks yang lebih segar bersama jenama yang berkongsi semangat inovasi, kualiti, dan rekaan. Bersama-sama, kami ingin mendefinisikan semula bagaimana audio premium sepatutnya kelihatan dan dirasai oleh generasi masa depan.”

Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam evolusi kedua-dua jenama. Bagi Nothing, ia membuka peluang untuk meneroka pelbagai kategori audio baharu.

Lagi artikel di ifon.my  CMF Phone 2 Pro Dilancarkan Untuk Pasaran Tempatan

Bagi KEF, ia menjadi platform untuk berkongsi kepakaran bunyi mereka kepada khalayak yang lebih luas menerusi lensa rekaan dan teknologi moden.

Beberapa produk yang dibangunkan bersama kini sedang dalam proses, menandakan komitmen jangka panjang kedua-dua pihak dalam mencipta pengalaman audio yang menawan dalam rekaan perkakasan yang elegan.

KEF ialah sebuah syarikat audio terkenal dari Britain yang telah lama dikenali sebagai pakar dalam teknologi bunyi berkualiti tinggi.

Ditubuhkan pada tahun 1961, KEF sentiasa menjadi peneraju dalam menghasilkan pembesar suara (speaker) yang bukan sahaja hebat dari segi prestasi, tetapi juga bergaya dan moden dari segi reka bentuk.

Nama KEF berasal daripada “Kent Engineering & Foundry”, tempat asal syarikat ini ditubuhkan. Sejak awal, KEF berpegang kepada prinsip mencipta produk yang mampu menghasilkan bunyi sebenar seperti yang dimaksudkan oleh artis atau pengeluar muzik.

Dalam erti kata lain, bunyinya jujur, jelas dan menyeluruh, tak lebih, tak kurang.Antara pencapaian KEF yang paling dibanggakan ialah teknologi Uni-Q, yang membolehkan suara dan muzik tersebar secara seimbang ke seluruh ruang.

Lagi artikel di ifon.my  Fon Putik : CMF Buds 2, CMF Buds 2a dan CMF Buds 2 Plus Dilancarkan

Teknologi ini menjadikan pengalaman mendengar lebih menyeronokkan, sama ada anda duduk di tengah-tengah atau di tepi.

KEF menawarkan pelbagai produk seperti Pembesar suara rumah (hi-fi dan home theater), fon putik premium dan pembesar suara tanpa wayar (wireless).

Reka bentuk produk KEF juga sangat elegan sesuai untuk mereka yang mementingkan gaya hidup moden tanpa mengorbankan kualiti bunyi.

Pendek kata, kalau anda seorang pencinta muzik atau audio yang menghargai butiran halus dalam setiap nada, KEF adalah jenama yang patut anda kenali. Ia bukan sekadar pembesar suara, tetapi pengalaman bunyi yang mengasyikkan.

Saya yakin, kerjasama antara Nothing dan KEF bakal membuka lonjakan baharu dalam portfolio bunyi sekali gus memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan produk terbaik di pasaran.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

iPhone 18 Pro Menggunakan Teknologi Face ID Di Bawah Skrin