Awal pagi esok Apple akan melancarkan iOS 26 versi Beta kepada Pembangun perisian.Walaupun tertumpu kepada Pembangun, orang awam cuba untuk menjadi individu terawal mencuba iOS terbaharu ini.
Mengemas kini tanpa pengetahuan yang cukup membuatkan sesetengah orang panik apabila iPhone mereka mula bermasalah selepas memasang iOS 26.
Asalkan jadi orang terawal tanpa mengetahui maksud sebenar “Beta” boleh mendatangkan salah faham dalam kalangan pengguna.
Versi Beta ialah salah satu peringkat dalam proses pembangunan sesuatu perisian sebelum ia dilancarkan secara rasmi kepada semua penggunaDalam bahasa mudah, versi “Beta” ialah versi percubaan yang masih belum stabil dan mungkin mengandungi beberapa masalah atau pepijat (bug).
Tujuan utama Apple melancarkan versi Beta adalah untuk memastikan aplikasi yang dibangunkan oleh pembangun dapat berfungsi dengan baik dalam sistem iOS yang terbaharu.
Selain itu, versi Beta juga membolehkan Pembangun memperkenalkan ciri-ciri baharu,serta menambah baik tahap keselamatan sebelum versi penuh dilepaskan kepada semua pengguna.
Tidak hairanlah mengapa sesetengah aplikasi perbankan, media sosial dan lain-lain mengalami masalah sebaik mengemas kini iOS 26 Beta.Ketahanan bateri juga mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan iOS 18.5.Oleh itu, sangat disarankan agar anda memasang iOS 26 Beta pada iPhone kedua dan elakkan menggunakannya pada peranti utama.
Seperti kebiasaan, setiap kali Apple melancarkan iOS Beta, pasti ada segelintir pengguna yang berlumba-lumba mahu menjadi antara terawal mencubanya.
Malah, ada juga yang berlagak seolah-olah merekalah satu-satunya yang menggunakan versi tersebut.


Malang tidak berbau. Selepas seminggu menggunakan iOS Beta, ada yang mula merungut di media sosial dan menyalahkan Apple sepenuhnya kerana didakwa mengeluarkan sistem yang belum sempurna.
Sedangkan, mereka sendiri tidak sedar bahawa iOS Beta sememangnya masih dalam fasa percubaan dan bukan versi akhir. Apabila mula menyesal, barulah mereka ingin kembali ke iOS 18.5, namun ramai yang tidak tahu bagaimana cara untuk turun taraf ke versi sebelumnya.

Keadaan bertambah rumit, mereka tidak melakukan sebarang sandaran (back-up) sebelum mengemas kini iOS 26.Perkara yang saya nyatakan ini akan berlaku setiap tahun,hingga ada yang gelabah bila iPhone mereka bermasalah sebaik memasang iOS terbaharu.
Nasihat saya, tunggu pelancaran rasmi pada bulan September ini.Jika anda tetap mahu jadi individu terawal, tunggu bulan Julai ini sebaik Apple melancarkan iOS 26 Beta untuk orang awam.
Apabila anda memasang iOS 26 Beta (Awam), jangan sekadar menggunakannya.Bantulah Apple dengan menghantar laporan melalui aplikasi Feedback sekiranya anda mengalami sebarang masalah semasa menggunakan iOS 26.
Perlu diingatkan sekali lagi, iOS dan aplikasi ketiga merupakan dua perkara berbeza.Jika anda hadapi masalah menggunakan aplikasi M2U sebagai contoh, sila laporkan kepada pihak Maybank, bukan Apple.
Namun, sekiranya iPhone secara tiba-tiba mula semula (restart), perkara ini boleh dikemukakan kepada Apple.Intihanya, memasang iOS 26 Beta memerlukan ilmu pengetahuan secukupnya. Jangan sekadar mahu jadi individu terawal, kelak menyesal.
SEKADAR PANDANGAN