Bukit Jalil, 28 Jun 2025 – Stadium Hoki Bukit Jalil bergema dengan sorakan dan alunan muzik bertenaga apabila Konsert Jiwa Kacau kembali menghangatkan malam Sabtu dengan persembahan hebat daripada barisan artis tempatan dan antarabangsa.

Konsert yang bermula seawal jam 8.00 malam itu menyaksikan penampilan mantap daripada kumpulan terkenal seperti The Lantis, Bunkface, Spider, Wali Band, Kerispatih, dan Hujan, yang berjaya membakar semangat ribuan penonton yang hadir.

Apa yang lebih menarik, konsert kali ini turut menyaksikan Geng Galau sebuah komuniti peminat yang semakin mendapat tempat di hati anak muda diberi kepercayaan untuk turut serta memeriahkan acara ini.

Menurut pengasas Geng Galau, Saudara Fareeq Zakwan, penglibatan ini merupakan satu langkah besar bagi mereka.

“Pertama kali bekerjasama dengan konsert berskala besar, khususnya dalam promosi dan kandungan konsert Jiwa Kacau 2025. Ini kali pertama saya terlibat dalam projek sebegini, dan peluang yang Datin Fara Hida yang merupakan Pengasas of MND Sport & Event Sdn Bhd dan pasukannya berikan amat saya hargai. Ia bukan sekadar satu pengalaman, tetapi juga satu penghormatan buat diri saya.,” ujar beliau.

Fareeq turut mengajak semua pencinta muzik dan peminat konsert untuk menyertai Geng Galau dalam misi menyatukan jiwa-jiwa yang dahagakan hiburan dan ekspresi seni. “Ini bukanlah penamat ini baru permulaan,” tambahnya penuh semangat.


Sepanjang malam, pentas Jiwa Kacau dipenuhi dengan lagu-lagu yang mengusik emosi, menggamit kenangan, dan menyuntik semangat.

Dari melodi sayu hingga ke lagu-lagu rock bertenaga, setiap persembahan mendapat sorakan padu daripada penonton. Stadium Hoki Bukit Jalil seakan bergegar dengan ledakan adrenalin yang tidak putus-putus.

Konsert yang berakhir sekitar tengah malam itu telah meninggalkan impak luar biasa kepada semua yang hadir. Rata-rata penonton meluahkan rasa puas hati dan berharap Jiwa Kacau akan kembali lagi pada masa akan datang dengan lebih banyak kejutan.

Konsert Jiwa Kacau 2025 telah pun melabuhkan tirai, namun semangatnya terus berkobar. Untuk mengikuti perkembangan terkini dan kemunculan Jiwa Kacau yang baharu, peminat boleh melayari laman media sosial rasmi mereka.