Noise merupakan sebuah filem seram dari Korea Selatan yang tampil dengan jalan cerita yang segar dan berbeza daripada kebanyakan filem seram yang ditayangkan tahun ini.

Di bawah edaran Antenna Entertainments, filem ini membawa penonton menyelami kisah dua beradik Joo-young dan Joo-hee yang kehilangan ibu bapa mereka dalam satu kemalangan tragis.

Lebih memilukan, mereka sendiri turut terlibat dalam kemalangan tersebut. Akibat kejadian itu, Joo-young mengalami masalah pendengaran, manakala Joo-hee mengalami kecederaan kaki yang menyukarkan dia untuk berjalan dengan normal.

Kedua-duanya kemudian berpindah ke sebuah apartmen lama yang menyimpan pelbagai kisah misteri.
Ketenangan mereka mula diganggu apabila Joo-hee sering terdengar bunyi pelik dan menyeramkan dari rumah atas. Malangnya, Joo-young tidak mengendahkan aduannya kerana menyangka ia hanyalah halusinasi atau gangguan biasa.

Segalanya berubah apabila Joo-young pulang ke rumah dan mendapati Joo-hee telah hilang tanpa jejak telefon dan barang pentingnya juga ditinggalkan, menguatkan kemungkinan bahawa adiknya telah diculik.
Dalam usaha mencari Joo-hee, Joo-young pula mula diganggu oleh seorang penghuni apartmen yang marah kerana mendakwa rumah Joo-young terlalu bising walhal tiada bunyi pun yang dikeluarkan.

Dari situ, pelbagai kejadian aneh mula berlaku dan rahsia apartmen itu mula terbongkar sedikit demi sedikit.Menariknya, Noise hanya berlatar di satu lokasi utama apartmen mereka.


Namun, filem ini bijak bermain dengan suasana dan bunyi yang mampu membuat penonton rasa tidak selesa dan sentiasa berjaga-jaga. Babak-babak kejutan (jump scare) juga disusun rapi dan menjadi antara kekuatan utama filem ini.
Walaupun terdapat elemen spiritual dalam penceritaan, ia tidak terlalu menonjol dan sekadar sebagai pelengkap suasana. Namun begitu, filem ini banyak menggunakan bunyi yang mencucuk gegendang telinga jadi jika anda jenis yang sensitif terhadap bunyi bising, elok bersedia terlebih dahulu sebelum menontonnya.

Setiap pelakon memberikan lakonan yang meyakinkan dan berkesan dalam membawa emosi watak masing-masing. Walaupun ramai memberikan skor tinggi untuk filem ini, secara peribadi saya merasakan ada sedikit kelemahan pada bahagian klimaks dan penutup cerita yang boleh diperbaiki.
Secara keseluruhannya, Noise bukan sekadar filem seram yang dipenuhi hantu semata-mata. Ia adalah cerita tentang trauma, kehilangan, dan ikatan adik-beradik yang disampaikan dengan gaya penceritaan yang unik dan menegangkan.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Noise yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 Julai ini.
Skor : 6.5/10 (65%)