Bad Guys 2, yang dibawakan secara eksklusif oleh United International Pictures Malaysia, tampil sebagai sebuah filem animasi yang bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan pengajaran.

Filem ini mengisahkan sekumpulan penjahat, Mr. Wolf, Piranha, Tarantula, Snake dan Shark yang kini ingin berubah menjadi individu yang lebih baik.
Mereka mula mencari pekerjaan halal demi mengubah nasib dan membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka sudah insaf.

Namun, kisah silam mereka menjadi penghalang. Setiap permohonan kerja sering berakhir dengan kegagalan kerana label “penjahat” masih melekat pada diri mereka.
Mr. Wolf sebagai ketua kumpulan berusaha untuk mengembalikan nama baik mereka. Namun segalanya menjadi rumit apabila berlaku satu rompakan yang menggunakan taktik sama seperti yang pernah mereka lakukan.

Orang ramai mula menuduh mereka kembali ke jalan lama. Demi membuktikan mereka tidak bersalah, kumpulan ini memulakan misi untuk membongkar siapa dalang sebenar di sebalik kejadian tersebut dan apakah motifnya.

Di sinilah bermulanya pengembaraan yang penuh dengan aksi, emosi dan gelak tawa.Jika anda belum pernah mendengar tentang Bad Guys 2, anda tidak keseorangan.
Ramai penonton yang hadir ke Tayangan Perdana minggu lalu juga tidak menjangka apa yang bakal mereka tonton. Saya sendiri datang dengan jangkaan yang rendah, meskipun pernah menonton filem pertama.


Namun, beberapa minit pertama filem ini sudah cukup untuk mengubah pandangan saya sepenuhnya.Secara jujur, Bad Guys 2 menawarkan penceritaan yang tersusun, animasi yang cukup mengagumkan dan watak-watak yang lebih matang.
Babak-babak komedi pula disampaikan dengan begitu bersahaja dan semula jadi, membuatkan seluruh dewan tayangan bergema dengan gelak tawa dan tepukan penonton.

Ia membuktikan bahawa filem ini bukan sekadar untuk kanak-kanak, malah turut menghiburkan penonton dewasa.

Jadi, adakah Bad Guys 2 berbaloi untuk ditonton? Jawapan saya, YA sangat berbaloi. Filem ini adalah kejutan yang menyenangkan sebuah animasi underdog yang berjaya menambat hati penonton dari pelbagai peringkat umur.
Jika anda seorang peminat filem animasi, Bad Guys 2 adalah filem yang wajib masuk dalam senarai tontonan anda.
Skor : 8/10 (80%)