Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Ghazali ialah sebuah filem yang diangkat daripada kisah benar. Menurut pengarah, kira-kira 70% jalan cerita diambil terus daripada pengalaman sebenar, manakala selebihnya difiksyenkan untuk menambah elemen dramatik.

Kisah ini mengangkat tiga beradik Melayu Rafei, Rasyid dan Rahman yang menjadi yatim piatu dan ditempatkan di rumah jagaan. Rafei (Idan Aedan) digambarkan sebagai abang sulung yang berperanan seperti ayah, tetapi sikapnya itu membuatkan dia sering dipukul oleh Ustaz Shaari.

Kehadiran Uncle Mike (Andy Teh) mengubah nasib Rafei, namun dua adiknya sudah terpisah. Dari situlah bermula usaha Rafei untuk mencari semula adik-adiknya dan membina hidup baru bersama Uncle Mike.

Apa yang menjadikan filem ini istimewa ialah kisah kasih sayang merentas bangsa dan agama. Walaupun Uncle Mike bukan Muslim, beliau sanggup menjaga tiga anak Melayu ini dengan penuh kasih sayang, malah turut membimbing mereka dalam pendidikan dan agama Islam.

Lakonan Idan Aedan amat menyerlah kerana berjaya membawa watak Rafei dengan penuh emosi. Andy Teh, Umar Shakur dan Merah Muhaimin juga memberikan persembahan yang baik dan menyentuh hati.
Tidak dilupakan Astro Shaw yang berjaya menzahirkan kisah benar ini dalam bentuk filem yang mampu membuat penonton ketawa, menangis dan terharu.

Cuma, ada beberapa bahagian terutamanya penamat yang boleh diperkemaskan lagi agar lebih dramatik. Jika watak sebenar ditampilkan, kesannya mungkin lebih mendalam.


Filem ini telah mengangkat satu rasa puas di mana ikatan “1 Malaysia” benar-benar terjalin, lebih-lebih lagi waktu bulan Kemerdekaan. Saya menyukai filem ini kerana diangkat dari kisah benar, apa yang kita tonton walaupun bukan semuanya betul, cukup untuk memberi kesan emosi yang mendalam.

Saya boleh berikan pujian kepada Ezrie Ghazali, Pengarah muda yang berjaya mengolah penceritaan yang segar dan menarik. Saya sedikit tersentuh untuk beberapa babak antaranya pemergian Rahman yang dilihat oleh Rafei, pertelingkahan antara ayah Uncle Mike dengan Rafie, Rahman dan Rasyid serta sewaktu Rafie dipukul.

Saya ucapkan syabas kepada Nadiya Nisaa yang memegang watak Ummi dan Sobri Anuar sebagai Ustaz Shaari, serta beberapa lagi pelakon yang bagi saya benar-benar memberikan sepenuh jiwa untuk filem ini.

Secara keseluruhan, Abah Saya Uncle Mike adalah sebuah filem tentang kasih sayang, keluarga dan pengorbanan yang patut ditonton oleh semua rakyat Malaysia.
Uncle Mike sendiri menjadi simbol keikhlasan sanggup berkorban demi membesarkan tiga anak Melayu sehingga berjaya, walaupun terpaksa melupakan impiannya berkeluarga.
Saya memberi skor 8/10 (80%) untuk filem ini.