in , ,

Generasi: Perfect 10, Kisah Remaja Mengejar Impian Gimnastik

Astro Originals kembali dengan siri baharu berjudul Generasi: Perfect 10, sebuah drama inspirasi yang mengetengahkan dunia gimnastik profesional.

Siri lapan episod ini akan mula bersiaran pada 19 September 2025, setiap Jumaat di Astro Ria (104) dan Astro Citra (108), serta lebih awal di Astro GO dan sooka bermula jam 12.00 tengah malam.

Drama ini mengisahkan perjalanan Ezie (lakonan Arena Wan), seorang remaja yang bercita-cita menjadi atlet gimnastik profesional.

Apabila kelab sekolahnya ditutup, dia berani mencuba nasib di sebuah akademi berprestij. Dari situlah bermula detik penuh cabaran persaingan sengit, tekanan emosi, dan realiti pahit dalam mengejar impian.

Selain Arena Wan, drama ini turut dibintangi Arabella Ellen, Sofia Jane, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis, manakala legenda gimnastik negara Farah Ann tampil sebagai penasihat dan penampilan khas.

Lagi artikel di ifon.my  Juadah 'Rahmah' : Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Generasi: Perfect 10, “Siri ini menampilkan naratif yang dekat dengan jiwa remaja, khususnya dalam mengejar impian dan mencari identiti. Kami mahu mengangkat semangat juang serta ketahanan yang membentuk seorang juara, selain memberi inspirasi kepada penonton.”

Semalam Astro Shaw telah menjemput kami menonton drama bersiri ini. Satu episod telah dizahirkan di layar perak dan kami memuji plot penceritaan yang segar dan bukan sekadar klise.

Episod pertama memfokuskan kepada kehidupan Ezie yang berusaha untuk masuk ke Akademi Permai walaupun dihalang oleh ibunya.

Keakraban Ezie dan ayahnya (Qi Razali) membuat kami sedikit emosi, lebih-lebih lagi satu tragedi yang menimpa.

Lagi artikel di ifon.my  Podcast : Abah Saya Uncle Mike, Kisah Benar Tentang Semangat Kebangsaan Yang Menyentuh Hati

Saya tidak akan memperincikan drama ini, tapi apa yang boleh saya katakan, ia sebuah filem kesukanan yang menarik untuk ditonton.

Walaupun penceritaan sedikit perlahan, tapi pengenalan kepada setiap watak begitu terperinci. Saya boleh katakan ia sebuah drama inspirasi yang boleh ditonton.

Saya berharap drama bersiri ini dapat terus konsisten dengan penceritaan yang menarik. Tidak sabar untuk menonton sambungan seterusnya dan menanti beberapa pelakon lain akan turut mewarnai drama ini.

Dengan gabungan emosi, drama dan semangat juang yang jarang diketengahkan di kaca televisyen tempatan, Generasi: Perfect 10 dijangka menjadi antara siri Astro Originals paling segar tahun ini.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Tharae The Exorcist :Pertembungan Dua Ideologi Berbeza