Sebelum saya berbicara lebih panjang, terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Warner Bros. Malaysia serta Pawagam GSC atas jemputan ke Tayangan Perdana yang berlangsung tengah malam 30 Ogos 2025, satu pengalaman menarik yang tidak dapat saya lupakan.

Secara peribadi, The Conjuring : Last Rites jauh lebih menarik berbanding The Conjuring: The Devil Made Me Do It. Filem ini mengisahkan pasangan penyiasat paranormal terkenal, Lorraine dan Ed Warren, yang membantu seorang gadis diganggu makhluk halus. Segalanya berpunca daripada sebuah cermin antik misteri yang akhirnya menjadi punca malapetaka.

Konflik bertambah tegang apabila Lorraine, yang sarat mengandung, dirasuki oleh cermin tersebut. Babak kelahiran anaknya menjadi antara momen paling mendebarkan, kerana gangguan itu tidak hanya membahayakan dirinya, malah bayi perempuan yang baru dilahirkan. Demi keselamatan anak mereka, Lorraine dan Ed akhirnya memilih untuk bersara.

Mereka berdua tidak mengetahui nasib gadis yang memiliki cermin antik tersebut dan jika boleh mereka mahu melupakannya. Setelah beberapa tahun berlalu dan anak gadisnya mula meningkat remaja, kehidupan mereka diganggu semula apabila keluarga Smurl membeli cermin tersebut dan membawanya pulang ke rumah.

Maka bermula babak kerasukan yang bukan sahaja menggangu malah membunuh ahli keluarga dalam rumah tersebut.
Dari segi penceritaan, filem ini masih mengekalkan gaya klasik francais Conjuring, tetapi lebih kemas dan menarik.

Elemen seramnya boleh dikatakan baik dan saya letakkan pada tahap 4/10, dengan beberapa adegan kejutan yang benar-benar membuatkan penonton terperanjat. Kesan solekan pula wajar diberi pujian kerana berjaya menampilkan hantu dengan rupa yang meyakinkan.



Namun begitu, filem ini bergerak agak perlahan. Babak menakutkan hanya benar-benar bermula selepas lebih sejam tayangan. Kemunculan cameo seperti patung Annabelle menambah rasa nostalgia, manakala jalan cerita semakin terarah kepada anak gadis Lorraine dan Ed memberi gambaran bahawa permulaan kisah ini akhirnya menemui noktah.

Sayangnya, babak klimaks di penghujung cerita agak mengecewakan. Penutupnya terasa hambar, sedangkan permulaan hingga pertengahan jalan cerita digarap dengan baik. Mungkin ada sebab tertentu pengarah memilih penamat sedemikian, tetapi bagi saya ia sepatutnya boleh diolah lebih menarik dan meninggalkan kesan mendalam.

Keseluruhannya, The Conjuring: Last Rites tetap sebuah penutup yang wajar ditonton, khususnya bagi peminat tegar kisah Lorraine dan Ed Warren. Walaupun ada kelemahan, ia masih berjaya mengekalkan elemen seram, kejutan, dan suasana mencekam yang sinonim dengan francais ini.

Walau bagaimanapun, The Conjuring: Last Rites tidak mampu untuk menandingi The Conjuring dan The Conjuring 2. Kendatipun begitu, ia masih menarik dan memuaskan dengan diselitkan beberapa babak yang mengingatkan kita dengan filem sebelumnya.
Jika anda peminat filem seram, jangan lupa menonton The Conjuring: Last Rites yang mula ditayangkan di seluruh pawagam berdekatan dengan anda.
Skor : 7/10 (70%)