in ,

3 Hajat: Di Sebalik Diam Seorang Ayah, Ada Lautan Kasih yang Tidak Pernah Surut

3 Hajat mengisahkan kasih sayang seorang ayah, Awang (lakonan Eman Manan), terhadap anak lelakinya, Taufiq (Amerul Affendi). Awang dipenjara lebih 20 tahun kerana membunuh Zainal (Shah Iskandar), suami kepada bekas isterinya. Peristiwa itu berlaku ketika Taufiq masih kecil, menyebabkan rasa kagum terhadap ayahnya berubah menjadi kebencian.

Selepas dibebaskan dari penjara, Awang kembali ke rumah. Namun, ketiadaan Taufiq menambah pilu dan kerinduannya. Mujurlah Mamat (Zul Huzaimy) hadir membantu Awang menyesuaikan diri semula dengan kehidupan kampung. Sementara itu, Taufiq yang hidup jauh daripada landasan agama dan gemar berpoya-poya akhirnya kembali ke kampung kerana satu sebab yang tidak dapat dielakkan. Dari sinilah bermulanya kisah penuh dilema dan konflik antara seorang ayah dengan anak lelakinya.

Lagi artikel di ifon.my  Podcast : Abah Saya Uncle Mike, Kisah Benar Tentang Semangat Kebangsaan Yang Menyentuh Hati

Filem ini sarat dengan makna tersirat. Ia memaparkan betapa sukar seorang ayah meluahkan kasih sayang terhadap anak lelaki, begitu jugalah hubungan Awang dan Taufiq. Pertelingkahan mereka akhirnya membawa kepada sebuah pengakhiran yang sangat menyentuh hati. Seorang ayah mungkin tidak menunjukkan kasih sayangnya secara zahir, namun sanggup berkorban walau terpaksa kehilangan darah dan nyawa.

Menonton filem ini membuat saya teringat akan arwah ayahanda saya. Sewaktu hidupnya, kasih sayang itu jarang dizahirkan. Namun, setelah beliau tiada, barulah saya sedar betapa besar pengorbanan seorang ayah dalam membesarkan anak-anaknya.

Penggambaran 3 Hajat berlangsung di Marang, Kuala Terengganu dan Setiu. Pujian harus diberikan kepada Eman Manan yang berjaya menghidupkan watak Awang dengan penuh penghayatan, benar-benar menjiwai peranan seorang ayah yang mengasihi anaknya. Filem terbitan KRU Studios dan Astro Shaw ini turut menggunakan elemen CGI yang sederhana, tidak keterlaluan, tetapi cukup untuk menguatkan naratif setiap babak.

Lagi artikel di ifon.my  Astro Shaw dan Royal Selangor Bergabung Tenaga Hasilkan Koleksi Eksklusif Keluang Man

Walaupun jalan ceritanya agak perlahan dan mungkin membuat segelintir penonton hilang tumpuan, filem ini menonjolkan banyak dialog bermakna tentang kehidupan. Jika anda benar-benar meneliti setiap kata-kata yang diungkapkan, anda akan menemui jawapan tentang erti kasih sayang seorang ayah.

3 Hajat mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Oktober. Apakah maksud di sebalik tajuk 3 Hajat? Jawapannya hanya akan anda temui apabila menonton filem ini.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

The Strangers: Degup Jantung Laju, Jalan Cerita Longgar