in

Di Sebalik Komedi Gelap, Tersingkap Realiti Rumah Tangga

Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih ialah sebuah filem hasil tulisan maestro terkenal Indonesia, Garin Nugroho, yang pernah dipuji melalui karya Opera Jawa dan Samsara.

Filem ini diarahkan oleh Benni Setiawan, pengarah yang tidak asing dalam genre romantik drama dan pernah meraih populariti melalui siri televisyen Layangan Putus.

Karya ini mengangkat isu besar tentang talak tiga, sesuatu yang sering dianggap remeh, tetapi sebenarnya amat berat walaupun dikomedikan. Ia juga memaparkan dilema rumah tangga, cinta segitiga yang tidak biasa anda tonton, serta konflik emosi yang mampu membuatkan penonton berbelah bagi.

Inilah waktunya merayakan sebuah “perayaan patah hati”.Filem terbitan Soex Entertainment ini diedarkan oleh Horizon Film Entertainment dan ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 2 Oktober.

Cerita mengisahkan tentang Alfa (Mikha Tambayong), seorang pereka fesyen muda yang rumah tangganya bergolak selepas suaminya, Darian (Kevin Ardilova), menjatuhkan talak tiga.

Perceraian itu tidak hanya memutuskan ikatan, tetapi menyeret Alfa ke dalam dilema baharu apabila dia perlu berkahwin dengan lelaki lain sebelum boleh kembali dirujuk kepada Darian.

Kemunculan Zainun (Ibrahim Risyad), seorang lelaki berpegang teguh pada agama dan membawa kebaikan dalam perhubungan, menimbulkan persoalan besar buat Alfa. Haruskah dia kembali kepada cinta lama yang sarat luka, atau memilih masa depan dengan seorang lelaki baharu yang memberinya harapan?

Dalam masa yang sama, Darian berjumpa dengan Intan (Tissa Biani), gadis manis pemilik kedai kaca antik, yang secara tidak langsung menyalakan semula api cintanya. Kehadiran Intan membuatkan Darian seolah-olah menemui pasangan yang lebih serasi.

Filem ini bukan sekadar kisah cinta dan perkahwinan, tetapi sebuah peringatan tentang betapa beratnya tanggungjawab rumah tangga. Ia menekankan bahawa ilmu agama sangat penting dan perceraian bukanlah perkara untuk dijadikan mainan.

Meskipun diselitkan dengan unsur komedi gelap (dark comedy), filem ini tetap menggambarkan realiti hidup yang berlaku di sekeliling kita. Pada awal tontonan, jalan ceritanya mungkin kelihatan sedikit berselerak, namun selepas 40 minit, naratif mula tersusun dan mesej yang ingin disampaikan menjadi lebih jelas.

Tambah mengujakan, terdapat plot twist di penghujung cerita yang pasti mengejutkan penonton. Dengan barisan kreatif yang hebat dan lakonan mantap, Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih menjanjikan pengalaman menonton yang penuh emosi, mendidik, dan sarat pengajaran. Jangan lepaskan peluang menyaksikannya di pawagam bermula 2 Oktober ini.

Skor : 7/10 (70%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

iPhone 11 Pro Max Diisytiharkan Vintaj

Masalah iMessage di iOS 26? Ini Cara Mengatasinya