Tron: Ares merupakan kesinambungan kepada Tron: Legacy dan filem ketiga dalam francais Tron. Filem sains fiksyen ini memberi tumpuan kepada program Ares, sebuah entiti canggih dari dunia digital, Grid, yang dihantar ke dunia nyata.

Kisah ini membawa penonton menyelami satu anjakan baharu dalam dunia kecerdasan buatan (AI) apabila manusia buatan dicipta dan hidup di dalam Grid.
Dua syarikat korporat gergasi, ENCOM dan Dillinger Systems, bersaing sengit untuk mendapatkan kod kekal yang direka oleh Kevin Flynn.

Namun, kedua-duanya berdepan kelemahan sama, kerana mereka tidak mampu mengekalkan kewujudan sesuatu objek melebihi 29 minit. Tidak hairanlah kedua-dua pihak sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki kod tersebut.
Dillinger Systems, yang diketuai oleh Julian, berani mempertaruhkan segalanya apabila dia menipu ahli lembaga pengarah dengan mendakwa program Ares mampu kekal di dunia nyata.

Demi merealisasikan impian untuk menghasilkan tentera dan peralatan tempur dari dunia Grid, Julian perlu mendapatkan kod kekal itu walau dengan apa cara sekali pun.
Sementara itu, Eve Kim bersama rakannya dalam perjalanan menuju ke ibu pejabat ENCOM selepas berjaya menemui kod tersebut. Namun, bagi mengelakkan kod itu disimpan oleh ENCOM, Julian mengarahkan Ares menjejaki mereka dengan membawa Ares ke dunia nyata.

Ares hanya mempunyai masa 29 minit untuk mendapatkan kod itu daripada Eve Kim sebelum musnah dan kembali ke Grid.
Apakah kesudahannya? Jawapannya hanya dapat diketahui apabila anda menontonnya di pawagam. Sebagai tambahan, terdapat satu babak pasca kredit di penghujung filem yang memberi bayangan kepada kesinambungan kisah ini dalam siri Tron yang akan datang.

Dari segi visual, pujian harus diberikan kepada kualiti imej janaan komputer (CGI) yang benar-benar menakjubkan. Dunia Grid digambarkan dengan cukup mempesonakan, disertai runut bunyi yang mengasyikkan serta membangkitkan suasana futuristik yang menawan.

Walaupun lakonan Jared Leto sebagai Ares kurang menyerlah, Jodie Turner Smith yang membawa watak Athena berjaya mencuri perhatian dengan kehadiran dan karismanya yang kuat.
Filem berdurasi hampir dua jam ini benar-benar menghiburkan, terutamanya apabila ditonton dalam format IMAX di Aurum Theatre, The Exchange TRX, yang menawarkan sistem bunyi 12 saluran untuk pengalaman audio yang mendalam dan mengasyikkan.



Namun, bagi yang inginkan pengalaman menonton yang lebih ekstrem dan mendebarkan, format 4DX di pawagam GSC pasti memberi kepuasan tersendiri.
Setiap pergerakan, semburan air, tiupan angin dan getaran kerusi diselaraskan dengan aksi di skrin, menjadikan anda seolah-olah berada di dalam dunia Tron itu sendiri.
Percayalah, anda mungkin tidak sempat menikmati minuman kerana kerusinya begitu bertenaga dan penuh kejutan.
Tidak hairanlah ramai penonton menjerit teruja, terutama ketika babak perlumbaan motosikal yang cukup mendebarkan.
Dari segi penceritaan, plotnya mungkin tidak begitu luar biasa, namun kekuatan visual dan kesan khas yang memukau berjaya menenggelamkan kelemahan tersebut.
Secara keseluruhan, Tron: Ares boleh dianggap sebagai titik permulaan baharu yang membuka ruang luas kepada kesinambungan francais ini.

Melihat kepada visi pengarahnya, jelas bahawa Tron masih mempunyai potensi besar untuk diteruskan melalui beberapa sekuel pada masa akan datang.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Tron: Ares, kini ditayangkan di pawagam berhampiran anda.Jika anda ingin menikmati keindahan dunia Grid yang menakjubkan, pilih format IMAX.

Tetapi jika anda mahu merasai sendiri adrenalin dan aksi yang lebih realistik, tontonan dalam format 4DX eksklusif di GSC pasti memberikan pengalaman yang tidak akan anda lupakan.
Skor: 7/10 (70%)