in ,

Black Phone 2: Rahsia The Grabber Terungkai

Black Phone 2 merupakan kesinambungan kepada filem Black Phone (2021), dan kali ini jalan ceritanya memberi tumpuan kepada rahsia sebenar di sebalik watak antagonis utama, The Grabber.

Plotnya bermula empat tahun selepas Finney Blake membunuh The Grabber. Adik perempuannya, Gwen, mula mengalami mimpi-mimpi aneh yang memaparkan tragedi kematian di Alpine Lake Camp pada tahun 1957.

Dalam mimpi itu juga, Gwen menerima panggilan misteri daripada mendiang ibunya yang menjadi petanda bahawa segala persoalan berkaitan The Grabber sedang menantinya di sana.

Bersama Finney dan teman lelakinya, Gwen menyamar sebagai pekerja amal untuk menyiasat misteri yang menghantui kawasan tersebut. Sepanjang berada di situ, Gwen mula menerima pelbagai petunjuk yang membawa kepada rahsia gelap The Grabber dan asal usul kewujudannya.

Lagi artikel di ifon.my  Smurfs (2025) : Pengembaraan Penuh Warna, Gelak Tawa dan Nilai Murni

Seperti naskhah pertama, Black Phone 2 mengekalkan elemen seram dan ngeri, namun kali ini ia lebih sarat dengan unsur mistik dan spiritual yang menimbulkan suasana tegang serta mendebarkan.

Dari segi lakonan, setiap pelakon berjaya menghidupkan watak dengan meyakinkan. Hubungan adik-beradik antara Finney dan Gwen digarap dengan baik, manakala kemunculan watak sokongan turut memperkukuh emosi penceritaan.

Sinematografi dan runut bunyi juga patut dipuji kerana kedua-duanya berjaya mencipta suasana suram dan menekan yang sesuai dengan genre seram psikologi.

Namun begitu, jalan ceritanya ada kelemahan. Beberapa bahagian seolah-olah diambil inspirasi daripada filem-filem seram Hollywood lain, menjadikan penceritaannya agak dapat dijangka.

Walaupun The Grabber digambarkan sebagai entiti berkuasa, babak akhir menampakkannya agak lemah dan kurang memberi impak. Walau bagaimanapun, pengalaman menonton Black Phone 2 tetap menyeronokkan, apatah lagi dengan suasana sejuk pawagam yang menambahkan lagi rasa seram.

Lagi artikel di ifon.my  Novocaine : Sebuah Penceritaan Sinematik Mendebarkan Jiwa

Saya menonton di panggung BIG di GSC 1 Utama yang baru diubah suai, dengan kerusi empuk boleh laras dan skrin besar yang meningkatkan lagi keasyikan tontonan.

Secara keseluruhannya, Black Phone 2 merupakan naskhah yang berbaloi ditonton bagi peminat filem seram misteri dan psikologi. Meskipun penceritaannya tidak sekuat filem pertama, ia masih mampu menimbulkan debaran serta menawarkan pengalaman visual dan emosi yang memuaskan.

Skor: 7/10 (70%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Hospis Malaysia Perkukuh Misi Jadikan Penjagaan Paliatif Agenda Nasional