Astro Shaw dengan sokongan WONDA Extra Presso telah mencipta sejarah apabila melancarkan Misi Jejak Pamakbul yang berlangsung di Bukit Kemensah Indah.
Program selama dua hari bermula pada 24 Oktober 2025 itu berjaya menarik kehadiran ramai peserta yang ingin merasai sendiri debaran adrenalin menelusuri sebuah rumah kosong yang telah ditinggalkan lebih 25 tahun.

Lebih seratus peserta daripada pelbagai peringkat usia, termasuk remaja dan dewasa, hadir bagi memeriahkan suasana.
Kami sendiri berpeluang merasai pengalaman mendebarkan itu, menyusuri setiap ruang rumah tinggalan yang gelap dan sunyi, terasa seolah-olah ada mata yang memerhati.
Pengalaman itu nyata bukan lakonan, tetapi satu detik seram yang sukar dilupakan.Setiap peserta dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada empat orang, dan masing-masing perlu masuk ke dalam rumah tersebut berbekalkan petunjuk misteri yang diberikan.
Petunjuk itu berteraskan legenda Pamakbul, makhluk halus yang dikatakan menjaga dan menguasai elemen air.Namun mencari ketiga-tiga petunjuk itu bukanlah tugas mudah.
Peserta terpaksa menyelongkar setiap ruang di rumah tiga tingkat yang menyeramkan, hanya ditemani sebatang lampu suluh kecil yang menambah lagi suasana tegang dan ngeri sepanjang misi berlangsung.
Setiap kumpulan diberi masa 10 minit sahaja untuk menyelesaikan cabaran. Mereka yang berjaya akan menerima saguhati tunai RM100 serta baju rasmi filem Malam Terlarang sebagai tanda penghargaan.
Jejak Pamakbul merupakan inisiatif unik daripada Astro Shaw dan WONDA Extra Presso, diadakan sempena pelancaran filem Malam Terlarang yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober ini.
Menurut wakil Astro Shaw, Zulfazli, “Kami memilih lokasi ini kerana ia telah 25 tahun ditinggalkan. Tempat ini benar-benar berpuaka dan membawa elemen seram yang asli. Tambahan pula, kami mengetengahkan watak Pamakbul, hantu laut yang memainkan peranan penting dalam filem Malam Terlarang. Jadi, penonton perlu menontonnya sendiri untuk merasai kehebatan kisah ini,” jelasnya.
Berdasarkan temu bual bersama beberapa peserta, rata-rata meluahkan rasa teruja dan kagum, malah ada yang mengaku terkejut dengan pengalaman yang tidak dijangka sewaktu menjalankan misi tersebut.
Ramai antara mereka berjaya menamatkan cabaran dan membawa pulang ganjaran daripada Astro Shaw.Tahniah diucapkan kepada Astro Shaw dan WONDA Extra Presso atas penganjuran yang kreatif dan luar biasa ini.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform yang menggabungkan hiburan, keberanian dan misteri dalam satu pengalaman.
Nantikan video eksklusif rangkuman penuh Misi Jejak Pamakbul yang bakal disiarkan tidak lama lagi di platform Instagram, X, Threads dan YouTube.
